Maulizan gesa UMNO tarik balik penggantungan ahli tanpa syarat

Maulizan gesa UMNO tarik balik penggantungan ahli tanpa syarat

MAULIZAN Bujang (kanan) masih meneruskan hubungan baik dengan meluangkan masa bersama rakan-rakan pemimpin UMNO walaupun dikenakan tindakan penggantungan sejak tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang menggesa parti itu menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas beberapa individu sejak tiga tahun lalu termasuk terhadap dirinya.

Beliau berkata, penarikan semula penggantungan itu juga wajar dipermudahkan tanpa dikenakan sebarang syarat selari dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Mereka yang digantung sebenarnya masih berstatus sebagai ahli parti, namun hak sebagai ahli dinafikan sepanjang tempoh penggantungan. Jika kepimpinan berpendapat parti tidak boleh terus lemah dan berpecah, maka Majlis Kerja Tertinggi (MKT) boleh sahaja menarik balik penggantungan tanpa syarat.

“Tidak perlu diletakkan syarat untuk memohon atau merayu kerana mereka yang digantung masih lagi ahli parti, cuma hak sebagai ahli dinafikan. Sebarang usaha untuk memperkukuh parti walaupun pahit bagi sesetengah pihak mesti dilakukan.

“Insya-Allah kami juga tidak perlukan karpet merah sekiranya ingin kembali kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain Maulizan, beberapa individu lain turut digantung termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; serta Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif.

Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram berkata, beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam parti sepanjang tempoh dikenakan penggantungan sejak tiga tahun lalu.

“Sepanjang 40 tahun aktif dalam politik, saya telah memegang beberapa jawatan termasuk Ketua UMNO Bahagian selama empat penggal selain dipilih sebagai wakil rakyat dan pernah berkhidmat sebagai Exco kerajaan Johor.

“Saya tidak pernah mengkhianati parti dan apabila digantung tanpa dinyatakan sebab, sudah tentu timbul rasa kecewa, ditambah pula dengan pelbagai fitnah di media sosial yang mengaitkan saya. Namun saya terima takdir,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui UMNO masih belum berjaya mengembalikan keyakinan rakyat sepenuhnya seperti sebelum ini, sekali gus menegaskan kesediaannya untuk membantu parti mencapai matlamat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×