PETALING JAYA: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.5 peratus tahun ini dan 4.0 peratus pada 2026.
IMF sebelum ini telah menetapkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2024 sebanyak 5.1 peratus.
“Bagi pasaran negara membangun dan ekonomi membangun, IMF meramalkan pertumbuhan akan merosot kepada 4.2 peratus pada tahun ini dan 4.0 peratus pada 2026 daripada 4.3 peratus pada tahun 2024,” katanya dalam Outlook Ekonomi Dunia (WEO) Oktober 2025.
IMF menyatakan, unjuran ini hampir tidak berubah daripada Kemas Kini WEO Julai dan merupakan peningkatan terkumpul sebanyak 0.6 mata peratusan daripada WEO April 2025.
Menurut laporan itu, ia lebih rendah sebanyak 0.2 mata peratusan secara terkumpul berbanding unjuran Oktober 2024, dengan negara-negara membangun berpendapatan rendah mengalami penurunan unjuran yang lebih besar berbanding ekonomi berpendapatan sederhana.
“Bagi pertumbuhan di Asia yang sedang muncul dan membangun, ia dijangka menurun daripada 5.3 peratus pada 2024 kepada 5.2 peratus tahun ini dan seterusnya kepada 4.7 peratus pada 2026,” katanya.
IMF berkata, bagi beberapa negara di rantau ini terutamanya di ASEAN, yang paling terkesan, perkembangan unjuran pertumbuhan secara besar-besaran meniru trend kadar tarif berkesan.
“Di China, unjuran pertumbuhan KDNK 2025 telah disemak turun sebanyak 0.6 mata peratusan dalam WEO April 2025, berikutan peningkatan ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat dan kemudian disemak naik sebanyak 0.8 mata peratusan dalam Kemas Kini WEO Julai, selepas pemberhentian kenaikan kadar pada Mei,” katanya.
IMF juga menyatakan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam beberapa suku terakhir, yang mencerminkan pemajuan awal dalam perdagangan antarabangsa dan penggunaan domestik yang agak mantap disokong oleh pengembangan fiskal pada 2025, yang lebih daripada mengimbangi cabaran daripada ketidakpastian yang lebih tinggi dan tarif. – UTUSAN