ADUN Sekinchan terima ugutan video lucah AI

ADUN Sekinchan terima ugutan video lucah AI

Ugutan video lucah
TANGKAP layar video dipercayai disunting menggunakan AI bagi menampakkan wajah Ng Suee Lim sebagai ugutan kandungan pornografi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim menjadi mangsa terbaharu ugutan kandungan pornografi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu, pejabatnya semalam menerima satu surat menerusi pos yang mengandungi tangkap layar palsu mendakwa mempunyai akses video berkaitan diri beliau.

Jelas Suee Lim, mesej itu menggesa beliau supaya segera menghubungi melalui e-mel jika tidak mahu keluarga dan reputasi kerja diganggu.

“Saya mendapati ia tangkap layar video AI yang meletakkan gambar profil saya dengan seorang wanita tidak dikenali tanpa pakaian di sebuah bilik hotel.

“Justeru, saya menegaskan bahawa ia adalah palsu dan individu itu bukan diri saya,” katanya petang ini.

Tegasnya, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Fitnah dan cubaan peras ugut itu bukan saja membahayakan keselamatan diri dan keluarga malah cuba menjatuhkan reputasi saya.

“Dalam era teknologi AI, saya mengingatkan orang ramai berwaspada dengan segala bentuk penipuan dan ugutan dalam talian,” ujarnya.

Tambah Suee Lim, orang ramai diminta melaporkan secara proaktif kepada agensi
penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku.

Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi turut menjadi mangsa ugutan berkenaan.

Ugutan sama turut menimpa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN