Pengendali degil bawa lebih muatan bakal dilucut hak, hilang lesen

Pengendali degil bawa lebih muatan bakal dilucut hak, hilang lesen

Lebih muatan
AEDY Fadly Ramli ditemui pemberita ketika sidang akhbar Ops Khas JPJ di Banting, Kuala Langat, Selangor malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pengendali kenderaan perdagangan yang berdegil membawa lebih muatan akan dikenakan tindakan tegas termasuk pelucutan hak dan pembatalan lesen.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya melaksanakan operasi selama tiga bulan bermula semalam bagi memastikan aspek pematuhan had muatan dipatuhi sewajarnya.

“Saya ingatkan kepada pengendali bahawa kita akan periksa semua kenderaan perdagangan yang berada atas jalan raya untuk tahan dan keluarkan notis timbang.

“Jika lebih berat muatan, kita akan ambil tindakan sama ada kompaun, saman atau kes ke mahkamah sehingga lucut hak dan pembatalan lesen pengendali syarikat itu,” katanya pada sidang akhbar sempena Ops Khas JPJ di Stesen Penguatkuasa Banting di sini, malam tadi.

Menurut beliau, perkara itu akan dilaksanakan pihaknya bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi penyaluran maklumat berkaitan kesalahan kenderaan berat berkenaan.

“Pemeriksaan turut dijalankan ke atas semua kenderaan perdagangan lain termasuk bas persiaran dan ekspres. Kita mulakan hari ini juga (malam tadi) selepas beberapa jam diarahkan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook),” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Aedy, sebanyak 278 kenderaan telah diperiksa dalam operasi bermula pukul 8 malam tadi.

“Tiga kenderaan iaitu sebuah lori dan dua kereta turut disita kerana tidak mempunyai insurans serta cukai jalan. Sebanyak 25 kenderaan telah diarah periksa dan dikenakan notis larangan penggunaan kenderaan selain 23 kenderaan didapati tidak mempunyai peranti had laju (SLD),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN