PETALING JAYA: Seorang wanita memohon maaf secara terbuka kepada Hospital Umra Shah Alam kerana telah menyebarkan tuduhan palsu bahawa pihak hospital mengenakan caj berlebihan terhadap pesakit.
Asmah Shukri, 35, mengakui kesilapannya telah menyebarkan maklumat tidak sahih di beberapa kumpulan WhatsApp kononnya suaminya ditahan pihak berkuasa kerana gagal melunaskan bil hospital.
Ekoran penyebaran fitnah tersebut, reputasi hospital serta pengurusan tertingginya telah terjejas.
“Saya amat kesal atas tindakan saya menyebarkan maklumat tidak benar atas dasar simpati tanpa menyemak kebenarannya terlebih dahulu. Ia menimbulkan fitnah yang mencalarkan nama baik hospital serta pengurusannya,” katanya dalam kenyataan bersama dengan hospital berkenaan.
Asmah juga mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital kerana menarik balik aduan polis terhadapnya dan menyifatkan insiden itu sebagai pengajaran besar agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tanpa kepastian.
Kenyataan itu dibuat sebagai tanda penyelesaian kedua-dua pihak.
Sementara itu, peguam Illy Nadiah Mohd. Yusof yang mewakili hospital berkenaan memberitahu, isu berkenaan tercetus pada 27 Julai lalu selepas maklumat palsu tersebar melalui beberapa kumpulan WhatsApp mendakwa suami pesakit ditahan polis kerana gagal membayar bil hospital.
Hakikat sebenar ialah pesakit warga asing berkenaan dimasukkan ke Hospital Umra pada 21 Julai untuk melahirkan anak dan selepas dua kali prosedur induksi tidak berhasil, pesakit meminta pembedahan caesarean yang kemudiannya berjaya dilaksanakan.
“Atas dasar prihatin, Pengarah Perubatan Hospital Umra, Datuk Dr. Mohamed Rafi Mohammed Feizal bersetuju menangguhkan pembayaran bil, tidak mengenakan deposit awal malah menaik taraf bilik pesakit daripada bilik berkongsi kepada bilik persendirian tanpa caj tambahan. Sebahagian kos rawatan turut ditanggung sendiri Dr. Rafi bagi meringankan beban pesakit,” katanya.
Namun, pasangan berkenaan kemudian menghubungi pihak ketiga dan menyampaikan maklumat tidak tepat berhubung situasi kewangan mereka, sebelum pihak tersebut menularkan dakwaan palsu serta berkongsi kod QR untuk kutipan derma.
Dr. Mohamed Rafi berkata, beliau hanya menyedari perkara itu selepas menerima panggilan tidak dikenali yang mempersoalkan dakwaan penahanan suami pesakit, sebelum membuktikan melalui panggilan video bahawa lelaki berkenaan sebenarnya berada di sisi isterinya.
Siasatan polis turut mengesahkan kedudukan sebenar dan membersihkan nama beliau serta pihak hospital.
“Kes ini tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik. Namun, tindakan undang-undang akan tetap diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah tidak berasas.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa hospital menawarkan pakej Rahmah serta dana khas bagi membantu pesakit yang menghadapi masalah kewangan,” katanya.
Dr. Mohamed Rafi dalam kenyataan sama turut menyatakan, tuduhan tersebut merupakan fitnah yang menjejaskan reputasi hospital serta dirinya sebagai pengamal perubatan.
“Kami amat kesal dengan tuduhan tidak benar ini. Dakwaan mengenakan caj berlebihan serta mempersoalkan niat ikhlas saya amat mengecewakan dan menyakitkan hati.
“Hospital sentiasa mengutamakan kebajikan pesakit dan mengekalkan standard tertinggi amalan perubatan dengan belas ihsan,” katanya.-UTUSAN










