PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berada dalam persaingan sengit sepanjang tempoh enam hari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) terus ketinggalan.
Meskipun BN mempunyai kelebihan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama berdemografi majoriti Melayu, PH dilihat mendahului di kerusi-kerusi marginal (majoriti tipis).
Vodus Research meramalkan, keputusan pilihan raya masih terbuka dan boleh memihak kepada mana-mana gabungan tetapi bergantung kepada prestasi kempen, kadar keluar mengundi dan keupayaan menguruskan persaingan di kerusi-kerusi tumpuan.
Pengasas Vodus Research, Dr. Kelvin Goh berkata, berdasarkan unjuran terkini, PH mendahului undi popular di seluruh negeri dengan 42 peratus diikuti BN (35 peratus) dan PN (tujuh peratus).
Beliau berkata, calon Bebas pula memperoleh dua peratus manakala 14 peratus responden masih belum membuat keputusan atau memilih untuk tidak mendedahkan pilihan mereka.
“Model semasa mengunjurkan PH mendahului di 17 kerusi, BN di 15 kerusi dan PN di dua kerusi manakala dua lagi kerusi menyaksikan persaingan antara BN dan PN masih belum dapat diputuskan.
“Majoriti mudah memerlukan 19 daripada 36 kerusi DUN. Ini bermakna, PH mahupun BN masih belum mencapai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Kajian itu dijalankan melibatkan 437 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dari 9 hingga 21 Julai lalu.
Kelvin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan DUN Negeri Sembilan boleh tergantung selepas hari pengundian pada 1 Ogos ini.
Beliau berkata, kelebihan PH daripada segi undi popular tidak semestinya mampu diterjemahkan kepada kemenangan majoriti kerusi, memandangkan taburan sokongan mengikut kawasan memainkan peranan yang sama penting berbanding jumlah keseluruhan undi.
“Walaupun BN mendahului dengan jelas di 15 kerusi berbanding sembilan kerusi milik PH, PH kini berada di hadapan dalam lapan daripada 10 kerusi marginal, sekali gus meningkatkan unjurannya kepada 17 kerusi,” katanya.
Beliau berkata, corak sokongan pengundi turut menunjukkan perbezaan mengikut kumpulan etnik.
“Dalam kalangan pengundi bumiputera, BN mendahului dengan 41 peratus diikuti PH sebanyak 27 peratus dan PN 25 peratus.
“Dalam kalangan pengundi Cina, PH mendahului dengan 59 peratus berbanding BN sebanyak 20 peratus dan PN sembilan peratus.
“Bagi pengundi daripada etnik lain pula, PH memperoleh sokongan sebanyak 42 peratus diikuti BN dengan 32 peratus dan PN sebanyak 21 peratus,” katanya.
Mengenai populariti Menteri Besar Negeri Sembilan, Kelvin berkata, Datuk Seri Aminuddin Harun mencatatkan penilaian positif pada kadar 32 peratus tetapi lebih rendah berbanding jumlah diraih Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa penilaian dilakukan untuk PRN Johor.
Beliau berkata, kos sara hidup menjadi isu paling utama dalam kempen pilihan raya.
“Laporan mendapati 55 peratus pengundi meletakkan kos sara hidup sebagai antara tiga isu paling penting, diikuti peluang pekerjaan dan gaji (34 peratus), kemampuan memiliki rumah (26 peratus) serta rasuah dan tadbir urus (24 peratus).
“Isu pembangunan ekonomi negeri, keselamatan dan jenayah, keharmonian agama serta kaum, pendidikan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan dan kualiti calon pula membentuk kelompok isu seterusnya yang menjadi perhatian pengundi,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 30 peratus responden belum membuat keputusan muktamad untuk mengundi parti politik mana dan berkemungkinan mengubah pilihan.
“Hasrat untuk keluar mengundi juga didapati lebih rendah berbanding rekod penyertaan pada pilihan raya sebelum ini.
“Seramai 71 peratus responden berkata mereka berkemungkinan atau sangat berkemungkinan keluar mengundi, namun hanya 51 peratus meletakkan diri mereka dalam kategori paling yakin.
“Dalam kalangan mereka yang berisiko tidak keluar mengundi, faktor paling utama ialah berada di luar Negeri Sembilan atau perlu melakukan perjalanan. Ia diikuti kesukaran untuk mengundi, komitmen kerja dan tinggal di luar kawasan mengundi,” katanya. – UTUSAN










