Kerajaan akan dedah RCI Tabung Haji - Utusan Malaysia

Kerajaan akan dedah RCI Tabung Haji

ANWAR Ibrahim bergambar bersama delegasi dan peserta pada Majlis Pelancaran Wacana Global Ekonomi Insan 2026 di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan Suru­hanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya Rabu ini, selepas dirujuk kepada Jemaah Menteri.

Kerajaan bersedia mendedahkan laporan itu bagi menjawab dakwaan berkaitan penjualan aset strategik TH pada 2018.

Ini susulan langkah pemulihan dan penstrukturan semula yang dibuat ketika itu melibatkan pemindahan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu menyatakan terdapat pelanggaran terhadap pelbagai peraturan dan wujud penya­lah­gunaan kuasa yang serius dalam agensi itu.

Beliau berkata, kerajaan me­ngambil pendekatan berhati-hati dalam membuat pendedahan kerana mengambil kira beberapa perkara antaranya keperluan melakukan transformasi dalam pengurusan TH bagi memperbetulkan beberapa ketidakaturan yang wujud.

Katanya, perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar perlu dilakukan berhubung prosedur menerbitkan laporan RCI kepada umum.

Ujarnya, sekiranya perlu di­rujuk ke Kabinet, ia akan diterbitkan untuk pengetahu­an orang ramai selewat-lewatnya Rabu ini.

“Keputusan Jemaah Menteri (pada ketika itu) adalah untuk menerbitkan (laporan RCI berkaitan TH), cuma pada ketika itu kita bimbang kerana TH dalam proses pemulihan.

“Kita letak Tan Sri Rashid Hussain (Pengerusi TH) dan pasukan baharu untuk membersihkan (TH) berdasarkan pandangan dan teguran laporan RCI dan kalau kita melakukan terlalu awal mungkin akan menimbulkan keresahan kepada pencarum dan penyimpan.

“Sekarang saya rasa TH sudah bertapak baik dan saya ti­dak ada keberatan sama se­kali untuk menerbitkan dan menyebarkan kerana laporan ini adalah hak rakyat untuk mengetahui,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Wacana Global Ekonomi Insan (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri di Ja­batan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan, pendedahan laporan RCI TH kepada umum akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Zulkifli turut menafikan dakwaan kononnya bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir menjual aset strategik TH, sebaliknya ia merupakan keputusan kolektif Kabinet pada 2018.

Katanya, pemindahan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada UJSB dibuat sebagai langkah pemulihan dan penstrukturan semula.

Perdana Menteri berkata, tidak ada sebab untuk laporan atau dokumen itu disembunyikan daripada pengetahuan rak­yat Malaysia.

“Sudah tentu terdapat pe­langgaran terhadap pelbagai peraturan. Saya tidak mahu menyebutnya sebagai rasuah tetapi sememangnya wujud penyalahgunaan yang serius. Kebimbangan kami ketika itu adalah untuk melindungi simpanan pencarum TH.

“Namun kini, selepas beberapa tahun, saya berpendapat Tan Sri Rashid dan pasukannya telah melakukan tugas yang sangat baik. Mereka berjaya menguruskan TH sebagai sebuah institusi yang diurus dengan baik, telus serta diaudit dengan sempurna.

“Jadi, pada pandangan saya, tidak ada sebab mengapa laporan atau dokumen itu tidak boleh didedahkan. Bagaimanapun, saya perlu menelitinya terlebih dahulu,” katanya.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2027 yang akan di­bentangkan Oktober ini, Perdana Menteri berkata, ia kekal berteraskan nilai kemanusiaan, keterangkuman dan matlamat sebenar tadbir urus negara.

Anwar berkata, persiapan sedang giat dijalankan dengan kerajaan berusaha memastikan agenda ekonomi negara terus berlandaskan prinsip tersebut.

“Walaupun berdepan pelbagai tekanan, saya tidak pernah mengabaikan persoalan asas yang kita rangkumkan dalam kerangka Malaysia Madani.

“Belanjawan, pertumbuhan, dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan te­naga dan transformasi digital tidak boleh mengabaikan usaha kita untuk mengembalikan tujuan moral dalam tadbir urus dan pembangunan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, petunjuk seperti pertumbuhan ekonomi, pelaburan, eksport, produktiviti, prestasi pasaran dan disiplin fiskal sememangnya amat penting.

Katanya, bagaimanapun, pembuat dasar juga perlu menilai sama ada pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memperluaskan peluang mengukuhkan institusi keluarga dan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN