KUALA LUMPUR: MR D.I.Y. melancarkan MR.DIY Club, program kesetiaan pertamanya yang direka untuk memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia atas pembelian harian mereka, sekali gus membolehkan keluarga mengumpul dan menikmati faedah bersama.
MR.DIY Club percuma untuk disertai dan menawarkan ahli mata ganjaran atas pembelian, baucar tunai, ganjaran hari lahir, serta akses kepada acara dan bengkel eksklusif.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, program itu dicipta untuk mengucapkan terima kasih kepada berjuta rakyat Malaysia yang telah menjadikan MR D.I.Y. sebahagian daripada kehidupan seharian mereka, serta menawarkan lebih banyak nilai kepada mereka.
“Selama lebih 20 tahun, rakyat Malaysia datang ke MR D.I.Y. untuk mendapatkan keperluan mereka, sama ada bekalan bateri yang mendesak, bahan untuk projek sekolah, alatan untuk kerja pembaikan rumah atau barang keperluan harian isi rumah.
“Ramai pelanggan kami membeli-belah bersama kami sebagai keluarga, justeru kami mahu mewujudkan satu program yang memberi ganjaran bukan sahaja kepada pembeli individu, tetapi seluruh isi rumah.
“Justeru, MR.DIY Club membolehkan keluarga mengumpul mata ganjaran bersama, menikmati nilai yang lebih baik, serta berkongsi pengalaman melangkaui urusan pembelian di kaunter.
“Ini merupakan cara kami menghargai sokongan pelanggan yang terus berkembang bersama kami, sambil memberikan lebih banyak sebab untuk mereka kembali membeli-belah dengan kami,” katanya semasa pelancaran MR.DIY Club di sini, semalam.
Teras kepada program itu ialah ciri Akaun Keluarga yang membolehkan sehingga lima ahli keluarga menghubungkan keahlian mereka dan menggabungkan mata ganjaran di bawah satu akaun kongsi membantu mereka tebus ganjaran dengan lebih cepat sebagai sebuah keluarga.
Beliau berkata, ahli MR.DIY Club akan memperoleh satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan dan mata ganjaran yang terkumpul boleh ditebus untuk baucar tunai yang boleh digunakan bagi pembelian pada masa hadapan.
“Ahli baharu juga akan menerima ganjaran alu-aluan segera sebanyak 400 mata, serta menikmati lima kali ganda mata ganjaran biasa untuk pembelian dalam bulan kelahiran mereka.
“Selain itu, ahli turut memperoleh satu “Bag” bagi setiap RM20 yang dibelanjakan yang memberikan mereka akses kepada acara dan bengkel eksklusif.
“Bag yang diperoleh menerusi Akaun Keluarga yang dipautkan akan digabungkan, membolehkan seluruh keluarga menikmati manfaat bersama,” ujarnya.
Pelancaran MR.DIY Club menandakan satu lagi langkah dalam usaha MR D.I.Y. untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lancar, mudah, diperibadikan dan lebih berbaloi untuk para pelanggannya.
Maklumat dan pandangan yang diperoleh menerusi program ini turut membantu MR D.I.Y. memahami dengan lebih baik keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, serta terus menambah baik produk, faedah dan pengalaman yang ditawarkan.
Dalam majlis yang sama, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin lebih dikenali sebagai SamTilla diperkenalkan sebagai Duta Jenama MR.DIY Club.
Setakat ini, MR D.I.Y telah mempunyai sebanyak lebih 1,500 cawangan di seluruh negara. – UTUSAN










