Hormati keputusan Presiden umum Asyraf calon BN di Gerik - Utusan Malaysia

Hormati keputusan Presiden umum Asyraf calon BN di Gerik

SALBIAH Mohamed (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak tahun 2025 di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di Parit hari ini. -UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Ahli parti perlu menghormati keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik  pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ini kerana penentuan calon bertanding pada pilihan raya merupakan kuasa mutlak Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

“Setiap ahli parti perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan Presiden dalam menamakan calon, termasuk pemilihan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertanding di Gerik seperti yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya orang parti. Kita menerima watikah daripada Presiden. Jadi siapa pun yang dicalonkan, itu hak presiden untuk menentukan.

“Tak ada isu awal atau lewat (pengumuman calon), sebab akhirnya kuasa itu terletak di tangan Presiden,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak 2025 di Rumah Seri Kenangan (RSK) Seri Iskandar, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi sebagai calon BN untuk kerusi Parlimen Gerik pada PRU16.

Asyraf Wajdi bertanding di Parlimen Gerik pada PRU15 namun kalah dalam pertembungan tiga penjuru.

Sementara itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga emas diperkasa seiring peningkatan jumlah penduduk berusia lebih 60 tahun di negeri ini.

Menurutnya, pelbagai inisiatif sedang dijalankan termasuk pelaksanaan program WeFit di tujuh lokasi seluruh negeri bagi menggalakkan warga emas kekal sihat dan aktif.

“Sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri yang berlangsung di Rumah Seri Kenangan (RSK) Seri Iskandar hari ini menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri menyantuni golongan berkenaan melalui pelbagai program dan inisiatif kebajikan.

“Program ini bukan sahaja wadah meraikan jasa generasi terdahulu, malah menggalakkan warga emas untuk terus aktif, berdikari dan berinteraksi dalam komuniti masing-masing.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan, sukan ringan dan sesi interaktif. Matlamatnya ialah memastikan warga emas terus sihat, berdaya tahan dan tidak berasa terpinggir,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN