PETALING JAYA: HMBE Legacy Sdn Bhd, syarikat milik penuh Bumiputera, tampil menyokong aspirasi Kerajaan Madani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan melancarkan Gula Rahmah sebagai produk mampu milik untuk rakyat.
Pengerusi Eksekutif HMBE Legacy Sdn Bhd, Datuk Dazma Shah Daud, berkata penyertaan aktif syarikat itu sebagai pengeluar dan pembungkus Bumiputera adalah sejajar dengan dasar memperkasa ekonomi Bumiputera melalui sektor industri pengguna asas.
“Sebagai syarikat yang digerakkan oleh tenaga kerja Bumiputera luar bandar, HMBE menjadi contoh nyata bagaimana usaha kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera diterjemahkan dalam sektor industri asas,” katanya.
Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri KPDN, Datuk Fuziah Salleh, sempena Karnival KPDN Pahang 2025 sebagai simbol kerjasama erat antara kerajaan dan industri dalam memastikan bekalan gula kekal stabil serta berpatutan.
Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Program Jualan Rahmah Malaysia (PJRM) yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah tanpa membabitkan subsidi kerajaan.
Katanya, projek rintis Gula Rahmah turut menerima pembiayaan institusi kewangan tempatan bagi memperkukuh keupayaan operasi dan logistik untuk menjayakan program ini secara mampan.
Ketika ini, pengedaran Gula Rahmah hanya dijalankan melalui PJRM luar premis yang tidak bertema dan bergerak, selaras dengan ketetapan KPDN, dengan harga jualan RM2.70 sekilogram.
“Penjualan runcit di pasar raya, kedai atau outlet tetap tidak dibenarkan bagi menjaga ketelusan dan kawalan harga. Langkah ini memastikan rakyat mendapat gula mampu milik tanpa melibatkan sebarang bentuk subsidi kerajaan,” jelasnya.
Dazma Shah turut mengakui cabaran utama HMBE adalahkos penghantaran tinggi ke Sabah dan Sarawak, memandangkan Gula Rahmah tidak menerima bantuan insentif logistik kerajaan.
“Kami berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif logistik khas bagi membantu pengedaran ke Sabah dan Sarawak supaya rakyat di sana turut menikmati manfaat Gula Rahmah,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar penjualan Gula Rahmah dibuka ke pasaran terbuka bagi memperluas capaian pengguna di seluruh negara tanpa mengurangkan kawalan harga.
““HMBE bukan pesaing kepada pengeluar utama seperti CSR dan MSM, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin industri dan pelengkap kepada pelan regularisasi gula kerajaan,” katanya lagi.
Dengan kuota yang dikawal sepenuhnya oleh KPDN, katanya lagi HMBE akan berfungsi sebagai stok penimbal (buffer supply) bagi membantu kestabilan pasaran dan kesinambungan bekalan ketika berlaku peningkatan permintaan atau gangguan pengeluaran.
“Kami juga berharap kerajaan memberi pertimbangan kepada penjualan pasaran terbuka serta insentif logistik khas untuk memperluas capaian pengguna di seluruh negara,” katanya.-UTUSAN










