PRN Negeri Sembilan: MCMC kesan dua akaun palsu, 14 aduan rangkaian

PRN Negeri Sembilan: MCMC kesan dua akaun palsu, 14 aduan rangkaian

FAHMI Fadzil ketika ditemui pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 1, Jempol, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sebanyak dua aduan berkaitan penggunaan akaun palsu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini, selain 14 aduan mengenai masalah rangkaian telekomunikasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, meskipun jumlah aduan akaun palsu masih rendah bagaimanapun orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kandungan yang meragukan atau palsu di media sosial.

“Bagi akaun palsu, setakat ini apa yang dimaklumkan MCMC hanya dua aduan.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kandungan palsu yang disebarkan hanya dua atau tiada lagi. Mungkin ada lebih daripada itu, jadi kita perlukan kerjasama orang ramai untuk membuat laporan,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 1, di sini, hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata, keadaan media sosial sepanjang tempoh kempen masih terkawal, namun pihaknya menjangkakan penyebaran maklumat palsu akan meningkat dalam tempoh 72 hingga 96 jam terakhir sebelum hari pengundian.

“Setakat ini keadaan di media sosial nampak masih terkawal. Namun, biasanya dalam tempoh 72 hingga 96 jam terakhir akan berlaku pecutan akhir daripada pelbagai pihak.

“Kita harap tidak berlaku kebanjiran maklumat palsu terutama dalam tempoh kritikal itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, MCMC turut mengesan kelemahan liputan internet di beberapa laluan utama menuju kawasan Felda dan menggesa syarikat telekomunikasi mempercepatkan usaha menanganinya.

Katanya, capaian internet yang baik amat penting terutama bagi membolehkan orang ramai membuat panggilan ketika berlaku kecemasan.

“MCMC semalam memaklumkan mereka telah membangunkan sistem dalaman baharu bagi mempercepat penyaluran maklumat kepada syarikat telekomunikasi untuk tindakan segera.

“Ada penyelesaian yang memerlukan pembinaan menara baharu dan ada juga yang hanya memerlukan pengoptimuman menara sedia ada. Asasnya ialah di mana ada jalan, di situ perlu ada internet,” katanya.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi perlu lebih proaktif termasuk melaksanakan inisiatif perkongsian rangkaian (network sharing) yang telah dipersetujui.

Beliau berkata, pemasangan kemudahan Starlink boleh dijadikan penyelesaian sementara namun ia bukan penyelesaian jangka panjang terutama bagi komuniti yang besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN