YALA (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand mendedahkan baja urea antara bahan yang digunakan untuk membuat bom dalam insiden letupan di Selatan Thai sejak kebelakangan ini.
Pengarah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, hasil soal siasat terhadap beberapa individu yang ditahan mendapati baja urea itu dibawa masuk dari negara jiran.
“Baja urea adalah salah satu komponen untuk membuat bahan letupan. Di sini (Thailand) juga ada baja urea, tapi terdapat perbezaan dari segi pembungkusannya.
“Baja urea yang kumpulan terbabit gunakan adalah dari negara jiran,” katanya semasa pertemuan khas dengan media Malaysia di Kem Sirindhorn, di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Naratip yang juga Panglima Tentera Wilayah 4 Thailand memberitahu, pihak berkuasa negara ini mengharamkan penerbangan dron tanpa kebenaran di beberapa wilayah di Selatan Thai disebabkan isu keselamatan.
Katanya, larangan itu kepada semua pihak termasuk pelancong asing.
“Kami masih mengharamkan dron diterbangkan di beberapa wilayah di Selatan Thai. Jika dilakukan tanpa kebenaran ia boleh dianggap sebagai pengintipan. Sebelum ini sesiapa sahaja boleh menerbangkan dron. Tapi sekarang kena mohon dahulu,” ujarnya.-UTUSAN










