PETALING JAYA: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah memasuki zon merah yang merupakan laluan ke Gaza, sebentar tadi.
Lokasi itu hanya kira-kira 100 batu nautika (±185 km) dari Gaza.
Perkara itu dimaklumkan oleh peserta GSF, Rahmah Ikhsan yang merupakan antara rakyat Malaysia menyertai misi tersebut.
“Allahuakbar, team Sumud Flotilla sudah masuk ke zon merah.
“Langit G (Gaza) menjadi saksi perjuangan mereka. Kita pula menjadi saksi perjuangan mereka,” katanya dalam Facebook beliau.
Beliau kemudian mengajak semua rakyat Malaysia untuk memanjatkan doa agar perjalanan mereka ke bumi Gaza berjalan lancar.
Dalam pada itu, Sumud Nusantara memaklumkan seluruh kapal delegasi sedang melakukan persiapan terakhir menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal menanti.
“Inilah saat paling genting. Kami menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit, sebarkan dan doakan tanpa henti agar pelayaran bersejarah ini selamat menembusi kepungan haram Israel dan sampai kepada saudara kita di Gaza,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 10 buah dron dianggarkan berlegar dalam formasi mencurigakan mengelilingi ruang udara konvoi GSF yang sedang belayar menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya mengesahkan terdapat cubaan intimidasi dari kapal tentera yang diyakini milik pihak Zionis Israel terhadap dua kapal flotilla, Sirius dan Alma.-UTUSAN










