PETALING JAYA: Malaysia akan melakukan apa yang termampu untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan semula Filipina susulan gempa bumi berukuran 6.9 pada skala rictcher yang melanda di Cebu, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat sedih dengan bencana gempa bumi yang melanda Cebu dan kawasan sekitarnya di Filipina.
Katanya, kehilangan dan penderitaan yang dialami oleh begitu banyak keluarga amat dirasai dan Malaysia turut berkabung bersama rakyat Filipina dalam waktu penuh duka ini.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakam ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Doa dan ingatan kami juga bersama mereka yang cedera, kehilangan tempat tinggal dan semua yang kehidupannya terjejas akibat tragedi ini,” katanya dalam satu hantaran di Faceook miliknya hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama Filipina dan akan melakukan apa termampu untuk membantu usaha bantuan dan pemulihan.
“Kami berdoa agar kekuatan dan ketabahan rakyat Filipina akan membantu mereka melalui hari-hari yang sukar ini,” katanya.
Terkini, angka kematian akibat gempa bumi yang melanda utara Pulau Cebu berhampiran Bogo, semalam, sudah mencecah 69 orang dengan puluhan mangsa yang lain mengalami kecederaan.
Gempa bumi yang melanda bandar dengan 90,000 penduduk itu berlaku sekitar pukul 9.59 malam (waktu tempatan) semalam, menyebabkan beberapa bangunan dan jalan raya musnah.
Angka korban dijangka terus meningkat susulan gegaran susulan yang masih berlaku di sekitar bandar tersebut sehingga hari ini. – UTUSAN









