WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat (AS) secara diam-diam memberi amaran kepada Iran melalui orang tengah pada peringkat awal rundingan bahawa dua perunding tertinggi negara itu berkemungkinan menjadi sasaran Israel.
Ini kerana AS bimbang rancangan serangan yang didakwa itu boleh menggagalkan usaha diplomatik yang akhirnya membawa kepada termeterainya Memorandum Islamabad, menurut satu laporan.
Maklumat itu mendedahkan bahawa Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang dilihat Washington sebagai tokoh penting bagi mengekalkan saluran komunikasi dengan Teheran menjadi sasaran pembunuhan Israel.
Pegawai AS percaya pembunuhan kedua-dua pemimpin itu akan menjejaskan usaha menamatkan konflik dan membuka semula Selat Hormuz.
“Jika anda membunuh mereka, anda juga sedang menyingkirkan golongan pragmatik,” kata seorang pegawai AS seperti dipetik oleh The Wall Street Journal.
Laporan itu turut menyatakan bahawa pegawai Amerika telah menggesa rakan sejawat mereka di Israel seawal Mac supaya tidak menyasarkan kepimpinan politik Iran selepas Rumah Putih mengubah pendekatannya kepada penyelesaian melalui rundingan.
Menurut pegawai semasa dan bekas pegawai AS yang dipetik dalam laporan itu, Washington dan Israel pada mulanya berkongsi matlamat untuk menukar rejim di Iran selepas perang tercetus pada 28 Februari.
Israel menumpukan usaha kepada penghapusan kepimpinan politik dan ketenteraan Iran, manakala tentera Amerika memberi tumpuan kepada usaha melemahkan keupayaan tentera laut serta peluru berpandu negara itu.
Namun, apabila konflik berlarutan, pegawai AS membuat kesimpulan bahawa institusi ketenteraan dan kepimpinan ulama Iran berkemungkinan kekal berkuasa, sekali gus mendorong pentadbiran Washington memberi penekanan lebih besar kepada usaha diplomatik.
Perubahan pendekatan itu menjadi lebih ketara selepas Israel membunuh Ali Larijani, pegawai tertinggi keselamatan negara Iran, pada pertengahan Mac.
“Titik perubahan bukanlah pembunuhan pemimpin tertinggi, tetapi pembunuhan Larijani,” kata seorang pegawai yang arif mengenai perbincangan itu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa Ghalibaf terselamat daripada beberapa percubaan pembunuhan yang didakwa dilakukan oleh Israel sepanjang proses diplomatik, termasuk satu insiden yang memaksanya mengubah rancangan perjalanan selepas pulang dari Pakistan.
Laporan itu juga merujuk kepada kenyataan Presiden AS, Donald Trump, semasa rundingan berlangsung yang mengaku kempen pembunuhan oleh Israel telah menyukarkan usaha diplomatik.
Laporan itu muncul ketika perunding Amerika dan Iran terus berusaha menyelesaikan Memorandum Islamabad secara menyeluruh.
Rundingan teknikal yang diadakan minggu ini di Doha, Qatar bagi memberi tumpuan kepada pelaksanaan kerangka memorandum itu, termasuk aspek keselamatan maritim di Selat Hormuz dan pembebasan aset Iran. – AGENSI










