Modric terima penghormatan Dalic, Martinez

Modric terima penghormatan Dalic, Martinez

Luka Modric
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic dan pengendali Portugal, Roberto Martinez, menzahirkan penghormatan kepada kapten Croatia, Luka Modric yang dipercayai telah mengharungi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

Selepas Croatia tewas 1-2 kepada Portugal dalam aksi penuh dramatik di Toronto, Modric, 40, dilihat berbual mesra dengan Cristiano Ronaldo, 41, sejurus tamat perlawanan.

Kedua-dua legenda bola sepak dunia itu kini berada di penghujung karier bersama skuad kebangsaan masing-masing.

Dalic mengakui kekalahan itu amat sukar diterima, lebih-lebih lagi apabila ia berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Modric dalam kejohanan paling berprestij dunia tersebut.

“Ini mungkin Piala Dunia terakhir buatnya dan saya sedih ia berakhir dengan cara sebegini.

“Dia sentiasa mempamerkan kualiti, karakter serta kepimpinan yang luar biasa dan terus memimpin Croatia sehingga wisel penamat,” katanya.

Sementara itu, Martinez menyifatkan Modric sebagai pemain yang telah memberi inspirasi kepada jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia.

“Legasinya akan kekal terpahat dalam sejarah bola sepak. Dia adalah contoh terbaik seorang pemain yang mampu mengawal rentak permainan dan membuat keputusan tepat pada setiap situasi.

“Dia sentiasa tahu mencari ruang dan memilih tindakan terbaik mengikut keadaan permainan. Sungguh luar biasa melihatnya terus beraksi seperti pemain muda,” katanya.

Modric sebelum ini memainkan peranan penting membantu Croatia muncul naib juara Piala Dunia 2018 di Rusia serta meraih tempat ketiga pada edisi 2022 di Qatar.

Sepanjang kariernya bersama Real Madrid, Modric dan Ronaldo turut mencipta kegemilangan apabila menjulang empat trofi Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh enam musim.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain berpengalaman itu mula memperlihatkan faktor usia sepanjang kempen Piala Dunia 2026.

Ronaldo yang menerima kritikan selepas aksi di peringkat kumpulan bagaimanapun tetap memainkan peranan penting apabila menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua untuk membantu Portugal mencatat kemenangan.

Dalam pada itu, Dalic menegaskan Modric kekal sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam skuad Croatia pada perlawanan tersebut. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN