ALOR SETAR: Sebuah premis industri yang dijadikan sekolah untuk etnik Rohingya diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) semalam susulan dakwaan kewujudan institusi berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut MBAS, pemeriksaan dilakukan bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan mendapati sebuah premis industri di kawasan berkenaan telah disewakan kepada etnik Rohingya dan digunakan sebagai sebuah sekolah untuk etnik itu.
“Ia menempatkan seramai 26 kanak-kanak etnik Rohingya yang menetap di kawasan berhampiran. Siasatan juga mendapati yuran sebanyak RM100 sebulan dikenakan kepada setiap pelajar,” katanya di sini hari ini.
Susulan penemuan itu, katanya, Bahagian Penguatkuasaan MBAS merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kes tersebut akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran.
“Ia juga akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia Kedah bagi penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat,” katanya.
MBAS komited memastikan setiap premis di kawasan bandar raya Alor Setar mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat. – UTUSAN










