Eco-Shop catat untung bersih 48% bagi suku kewangan pertama 2026

Eco-Shop catat untung bersih 48% bagi suku kewangan pertama 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eco-Shop Marketing Berhad (Eco-Shop) mencatatkan keuntungan bersih melonjak sebanyak 48.4 peratus kepada RM58.8 juta pada suku pertama untuk tempoh tiga bulan berakhir pada 31 Ogos 2025.

Seiring dengan keputusan itu, syarikat telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM28.7 juta, yang akan dibayar pada 26 November 2025.

Selain itu, Eco-Shop dan anak-anak syarikatnya mencatatkan hasil sebanyak RM684.3 juta, berbanding RM667.7 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keuntungan kasar pula meningkat pada kadar yang lebih tinggi daripada hasil, meningkat sebanyak 28.5 peratus kepada RM217.6 juta.

Sehubungan itu, margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 31.8 peratus daripada 25.4 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2025, didorong oleh harga jualan yang lebih tinggi dan campuran produk yang lebih menguntungkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jessica Ng berkata, pelan pengembangan rangkaian kedai kami berjalan dengan baik, disokong oleh perancangan pembukaan cawangan baharu yang kukuh bagi tahun kewangan 2026.

“Penambahan ini akan terus memperluaskan kehadiran kami di seluruh negara, selaras dengan keutamaan pengguna terhadap kemampuan dan kualiti.

“Kami yakin potensi pertumbuhan bagi konsep peruncitan nilai kami masih luas, memandangkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan perbelanjaan berhemat dan mencari barangan keperluan harian yang boleh dipercayai.

“Pada masa yang sama, kami memberi tumpuan lebih kepada pembangunan rangkaian produk jenama sendiri bagi menawarkan kualiti yang lebih baik pada harga yang menarik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, syarikat juga melihat sedikit cabaran dalam sentimen pengguna sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan akan terus memantau keadaan dengan teliti agar kekal tangkas dalam tindak balas mereka.

“Fokus kami adalah untuk mengoptimumkan harga, mempertingkat campuran produk dan menambah baik promosi bagi memastikan kami kekal relevan serta berdaya saing.

“Pada masa yang sama, kami juga memperkukuh jenama melalui penambahbaikan kedai bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan menarik lebih ramai pengunjung.

“Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kami serta daya saing jangka panjang dalam segmen peruncitan nilai,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini