LANGKAWI: Dua lelaki tempatan yang merupakan pelancong ditemukan lemas ketika beriadah di Pantai Chenang, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 38 dan 46 tahun disahkan meninggal dunia ketika pemeriksaan dilakukan di wad kecemasan Hospital Sultanah Maliha (HSM).
Pemangku Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman berkata, kedua-dua mangsa diselamatkan oleh orang awam dengan menggunakan jet ski untuk dibawa ke pantai.
“Merekq datang ke Langkawi dari Selangor bagi tujuan melancong bersama keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Samsulmuddin, kes terbabit akan disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR).
Difahamkan, kejadian berlaku ketika cuaca buruk melanda kawasan tumpuan ramai itu termasuk ombak kuat yang menghempas pantai berkenaan. – UTUSAN