KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan ketibaan 3.5 juta pelancong ke Langkawi pada tahun ini yang akan menjana pendapatan sebanyak RM8 bilion.
Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Dr. Azmil Munif Mohd. Bukhari berkata, pada tahun lalu pulau pelancongan itu merekodkan ketibaan 3.2 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM7.7 bilion.
Beliau berkata, sebanyak 60 peratus pelawat ke Langkawi tahun lalu merupakan pelancong asing dan bakinya warga tempatan.
“Setakat Julai tahun ini kita merekodkan ketibaan sebanyak 1.7 juta pelancong, lebih 50 peratus daripada sasaran,” katanya selepas majlis pemeteraian kerjasama antara LADA dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini, hari ini.
Pada majlis itu LADA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Iskandar Mohd. Kaus sementara MAG diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Pengembaraan dan Kesetiaan, Philip See Yew Jin.
Pemeteraian dan pertukaran dokumen disaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Azmil Munif berkata, kerjasama untuk mempromosikan Langkawai sebagai destinasi tarikan pelancong antarabangsa dan tempatan dengan tawaran pakej pelancongan menarik potongan antara 20 hingga 70 peratus.
Ia juga selari dengan Tahun Melawat Kedah dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, tumpuan promosi adalah untuk tiga bulan iaitu Oktober, November dan Disember, bulan dikatakan paling kurang ketibaan pelancong ke pulau berkenaan.
“Melalui kerjasama dengan Malaysia Aviation Group kami menyasarkan peningkatan 20 peratus ketibaan pelancong.
“Tarikan dan keunikan Langkawi ialah alam semula jadinya yang sukar ditandingi oleh lain-lain destinasi,” katanya. – UTUSAN










