Dua lagi perangkap kamera dipasang, guna dron kesan harimau

Dua lagi perangkap kamera dipasang, guna dron kesan kehadiran harimau

ABDUL KADIR ABU HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang dua lagi perangkap kamera selain pemantauan menggunakan dron di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini berhubung dakwaan kehadiran harimau di lokasi terbabit.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi pemantauan kini telah memasuki hari kelima bermula 9 Oktober lalu.

Menurutnya, anggota meneruskan rondaan darat di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri selain semakan jejak serta pemantauan udara menggunakan dron.

“Tiga unit perangkap kamera dipasang pada 10 Oktober lalu dan ditambah dua unit lagi semalam.

“Pemeriksaan setakat ini banyak mengesahkan kewujudan jejak babi hutan dan anjing, tiada indikasi harimau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas mengenai pengesahan kehadiran harimau, Abdul Kadir berkata, perkara itu masih belum dapat disahkan kerana setakat ini semakan rakaman dan rondaan tiada imej atau tanda fizikal yang mengesahkan harimau. 

Jelasnya, tanda yang ditemukan ialah tapak babi hutan serta tapak anjing.

“Satu kesan cakar pada pokok direkodkan awal tetapi tiada bukti sokongan lain yang mengaitkannya dengan harimau,” ujarnya.

Tambahnya, Ukay Perdana bukan kawasan keliaran utama harimau belang, namun bersempadan kawasan berbukit berhutan yang boleh menjadi laluan pergerakan hidupan liar dari arah Hulu Langat ke kawasan hutan sekitarnya. 

“Justeru, pemantauan berterusan dan semakan perangkap kamera diteruskan sepanjang bulan ini,” katanya..

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Perhilitan menerima aduan daripada penduduk pada 8 Oktober lalu yang melaporkan terdengar bunyi seperti harimau di kawasan hutan belakang pangsapuri.

Berikutan itu, pasukan Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Selangor telah digerakkan ke lokasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN