SHAH ALAM: Tuduhan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa menyeleweng wang negara sepanjang menjadi Perdana Menteri bukan sahaja tidak berasas malah tidak pernah dikemukakan bukti berhubung salah laku tersebut.
Dr. Mahathir berkata, beliau memfaikan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya menyeleweng wang negara ketika menjawat Perdana Menteri.
“Ucapan Anwar ditujukan kepada saya. Kali pertama (saya jadi Perdana Menteri) 22 tahun. Kali kedua 22 bulan. Dalam ucapan itu, saya (dituduh) memperkayakan diri, keluarga, kroni. Saya tidak bayar cukai. Bawa duit ke luar negara.
“Itu dinyatakan Anwar. Itu adalah fitnah dan dia perlu tunjuk bukti (berdasarkan tuduhan itu),” katanya dalam keterangan perbicaraan kes saman terhadap Anwar di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri itu ketika Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme di Shah Alam pada 18 Mac 2023.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.
Dalam pada itu, perbicaraan kes saman tersebut disambung esok susulan Dr. Mahathir mengalami masalah kesihatan.
Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Datuk Donald Joseph Franklin selepas membenarkan permohonan peguam mewakili Dr. Mahathir, Mohd. Rafique Rashid Ali.
Beliau berkata, anak guamnya itu tidak sihat dan mengambil ubat sebelum hadir ke mahkamah pada pagi tadi.
“Tun (Dr. Mahathir) mengambil ubat sebelum hadir ke mahkamah, tadi. Jadi, mohon Yang Arif membenarkan perbicaraan disambung pada 23 Oktober ini,” katanya.-UTUSAN










