Delegasi Malaysia sepakat tandatangan surat pelepasan segera

Delegasi Malaysia sepakat tandatangan surat pelepasan segera

KAMARUL Zaman menunjukkan lokasi kapal-kapal pelayaran FFC bersama TMTG ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) sebulat suara bersetuju menandatangani Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera sekiranya ditahan oleh tentera Zionis bagi mengelak risiko penahanan berpanjangan.

Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan terkini dan bagi memastikan urusan pulang ke tanah air dipermudahkan sekiranya berlaku penahanan.

“Delegasi Malaysia bersepakat sekiranya ditawan dan ditawarkan untuk menandatangani borang pelepasan segera, kami akan pulang serta-merta. Kami tidak mahu mengambil risiko ditahan lama di sana.

“Kedutaan Malaysia di Turkiye juga telah memaklumkan bahawa proses sama akan dilaksanakan kepada delegasi Malaysia. Malah, pasport kami telah dihantar kepada pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir bagi memudahkan urusan pulang ke tanah air,” katanya menerusi panggilan video pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare), di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan menandatangani surat itu bukan bermaksud mereka gentar atau berundur daripada perjuangan, sebaliknya keputusan dibuat atas dasar rasional dan objektif misi yang telah tercapai.

“Timbul perbincangan kononnya kami takut sehingga mahu pulang, tidak. Kami lihat objektif utama untuk pecah masuk sudah dicapai. Tambahan pula, tindakan Israel terhadap tahanan Global Sumud Flotilla semakin ganas, jadi keputusan ini adalah langkah terbaik,” katanya.

Jelasnya lagi, kapten kapal turut memberi kebebasan kepada setiap peserta untuk membuat pilihan sama ada mahu menandatangani borang pelepasan atau terus berada di kapal.

“Itu hak masing-masing. Namun, kami sebulat suara bersetuju menandatangani bagi mengelakkan tekanan terhadap kerajaan, pemimpin negara serta ahli delegasi sendiri kerana kita tidak tahu bentuk layanan yang akan diterima nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan, kesemua lapan kapal layar TMTG telah bergabung dengan kapal Conscience pada pukul 11.30 pagi waktu Malaysia.

“Kesemua kapal kini berada di perairan antarabangsa sementara menunggu kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam antarabangsa,” katanya.

Ketika ini, seramai lapan delegasi Malaysia sedang berada di atas kapal Conscience bersama seorang lagi di atas kapal layar Umm Saad bagi meneruskan misi kemanusiaan berkenaan.

Kapal Conscience merupakan kapal terbesar dalam misi itu, membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam ahli Jawatankuasa Pemandu FFC.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG melibatkan keseluruhan 150 peserta dari 25 negara, termasuk sembilan wakil Malaysia, yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN