Cheeding Holdings bermula cemerlang di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Cheeding Holdings bermula cemerlang di Pasaran ACE

Ng Lam Shein (dua dari kanan) ketika sidang media selepas penyenaraian Cheeding Holdings Berhad di Pasaran Ace Bursa Malaysia Securities Berhad di sini, semalam. UTUSAN/FAQIHAH FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cheeding Holdings Berhad, sebuah firma perkhidmatan kejuruteraan utiliti membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan 70 sen sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 36 sen sesaham. 

Saham Cheeding meningkat setinggi 79 sen dan didagangkan pada paras 73 sen pada pukul 9.05 pagi, selepas hampir 53 juta saham bertukar tangan. 

Pada harga terakhir itu, syarikat berkenaan mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM581 juta.

Ketua Pegawai Operasinya, Ng Lam Shein berkata, penyenaraian tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan bagi Cheeding dan bukti kepada kerja keras warga syarikat serta kepercayaan para pelanggan. 

“Bermula dengan langkah yang sederhana, kami kini telah berkembang menjadi penyedia penyelesaian kejuruteraan yang diiktiraf dengan keupayaan melaksanakan projek-projek penting di seluruh semenanjung Malaysia. 

“Penyenaraian di Bursa Malaysia memberi kami keterlihatan yang lebih tinggi dan meletakkan kami pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menyokong keperluan infrastruktur tenaga negara. 

“Fokus kami kekal pada pelaksanaan buku pesanan dengan cekap, memperkukuh keupayaan teknikal, serta memperluas pangkalan pelanggan bagi memacu pertumbuhan mampan pada tahun-tahun akan datang,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini, semalam. 

Hasil IPO akan diguna bagi mengukuh keupayaan operasi syarikat, antaranya RM24.6 juta (47.8 peratus) untuk modal kerja dan RM16.2 juta (31.4 peratus) bagi penyediaan bon prestasi projek baharu. 

Selain itu, sebanyak RM3.2 juta (6.2 peratus) untuk perolehan jentera pembinaan baharu, RM2.3 juta (4.5 peratus) bagi pembayaran semula pinjaman bank dan RM5.2 juta (10.1 peratus) untuk menampung kos penyenaraian.

Mengulas mengenai prospek pelaburan masa hadapan, Lam Shein berkata syarikat optimis dengan peluang projek baharu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Projek seperti pusat data yang sedang beroperasi atau hampir siap akan memerlukan sumber tenaga baharu, dan ini melibatkan pembinaan lebih banyak talian penghantaran.

“Selain itu, terdapat juga Inisiatif Pembangunan Hijau ASEAN yang dijangka berlangsung antara tahun 2025 hingga 2030 bagi menghubungkan grid tenaga antara Vietnam, Malaysia, Singapura dan Laos, yang dijangka membuka lebih banyak peluang projek penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, reka bentuk kejuruteraan projek dikendalikan oleh perunding atau pereka bentuk pihak ketiga.

“Namun, kami bercadang menubuhkan jabatan reka bentuk dalaman (in-house) kerana dalam proses tender, masa amat terhad dan kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga untuk menyediakan reka bentuk anggaran.

“Dengan adanya pasukan reka bentuk dalaman, kami dapat memendekkan proses tersebut serta mempunyai kawalan yang lebih baik semasa fasa pembinaan, sekali gus menjimatkan kos dan menawarkan penyelesaian alternatif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×