Buruh tidak mengaku amang seksual  anak tiri

Buruh tidak mengaku amang seksual  anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang merupakan anak tirinya di rumah mereka di Pasir Puteh, dekat sini pada 2023 dan April lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun dan 17 tahun di sebuah rumah di Pasir Puteh dekat sini pada 2023 dan pukul 9 pagi, 11 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b), Seksyen 14 (c) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Ketiga-tiga seksyen itu boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh kerana ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya merupakan kes serius.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×