KUALA LUMPUR: Brazil berhasrat memperluas potensi kerjasama dengan negara-negara ASEAN khususnya Malaysia dan Indonesia bagi memperkukuh rangkaian perdagangan serta pelaburan dua hala antara rantau Asia Tenggara dan Amerika Selatan.
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva berkata, hubungan ekonomi antara Brazil dan ASEAN masih mempunyai ruang yang luas untuk diterokai terutama dalam sektor tenaga, pertanian, teknologi hijau dan pembangunan mampan.
Katanya, nilai perdagangan antara Brazil dan negara ASEAN itu kini hanya sekitar AS$12 bilion (RM58.4 bilion) iaitu jumlah disifatkan jauh lebih rendah berbanding potensi sebenar rantau berkenaan.
“Angka ini menunjukkan masih kurang keberanian dalam kalangan ahli perniagaan dan menteri kami di Brazil.
“Daripada hanya duduk di pejabat, mereka perlu menjelajah dunia untuk menjual apa yang Brazil hasilkan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Lula berkata, hubungan rapat antara Brazil dan negara ASEAN akan membuka peluang baharu dalam perdagangan serta pelaburan selain memperkukuh jaringan diplomatik.
Katanya, Brazil giat melaksanakan peralihan tenaga daripada bahan api fosil kepada sumber tenaga bersih, meskipun masih menjadi antara pengeluar minyak utama dunia.
“Brazil ialah negara pengeluar minyak, tetapi kami sedang berusaha mempercepatkan peralihan tenaga hijau.
“Dunia ingin tahu bagaimana kami menyeimbangkan pembangunan ekonomi berasaskan minyak dengan agenda hijau yang progresif,” katanya.
Beliau berkata, negara ASEAN mempunyai hubungan persahabatan mendalam dengan Brazil serta mengagumi model pembangunan dan peluang pelaburan ditawarkan negara Amerika Selatan itu.
“Brazil kini meninggalkan era lama di mana kami hanya bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) atau Kesatuan Eropah (EU) untuk menyelesaikan masalah kemiskinan.
“Kami akhirnya sedar hanya rakyat Brazil sendiri mampu menyelesaikan masalah di Brazil. Usaha memperkukuh ekonomi Brazil perlu disokong dengan peningkatan perdagangan antarabangsa dan kemasukan pelaburan asing yang hanya dapat dicapai melalui hubungan diplomatik berasaskan keyakinan dan kepercayaan,” katanya.-UTUSAN










