PETALING JAYA: Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang dijadual berlangsung pada November ini ditangguhkan sehingga 14 Januari tahun depan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti memutuskan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO 2025 kepada 14 hingga 17 Januari 2026 susulan pengumuman tarikh PRN Sabah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, keputusan itu dibuat selepas SPR menetapkan PRN Sabah berlangsung dari 15 hingga 29 November yang bertembung dengan tarikh asal perhimpunan tersebut iaitu pada 26 hingga 29 November.
“Dengan penangguhan ini, diharapkan kepimpinan serta jentera UMNO seluruh negara dapat menumpukan sepenuh tenaga dan usaha membantu Barisan Nasional (BN) Sabah dalam meraih kembali kepercayaan rakyat.
“Ini penting bagi memastikan BN kembali mengemudi Kerajaan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Sabah pada 29 November dan tarikh mengundi awal pula pada 25 November.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.-UTUSAN










