KUALA LUMPUR: Dalam dunia politik Sabah, segalanya sukar dijangka. Jika sebelum ini tindakan melompat parti hanya berlaku selepas pilihan raya demi survival masing-masing, namun kini langkah berisiko itu tampak berlaku sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 bermula.
Fenomena ini bukan sekadar perubahan taktikal, bahkan mencerminkan satu bentuk strategi baharu oleh sesetengah pihak yang menyebut ia sebagai ‘strategi bunuh diri’ (suicide strategy) dalam politik.
Namun di sebalik istilah yang kedengaran negatif itu, tersirat satu percaturan besar dan penuh berhati-hati oleh gabungan kerajaan negeri, sama ada ia benar-benar strategi atau pertaruhan berisiko.
Difahamkan, beberapa calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka bertanding menggunakan logo PKR, sebahagian daripada usaha mengelakkan pertindihan dengan Barisan Nasional (BN) di kerusi tumpuan seperti Sindumin dan Kemabong.
Langkah itu mungkin nampak pelik, mengapa tokoh GRS perlu bertanding bawah parti lain sedangkan mereka masih sebahagian daripada gabungan kerajaan?
Tetapi bagi sesetengah pihak, ia bukan soal kesetiaan atau lambang, tetapi ini soal strategi untuk mengekalkan kuasa tanpa berperang sesama sendiri.
Difahamkan, beberapa tokoh penting GRS bakal membuat ‘kejutan’ ke arah itu, antara nama yang disebut ialah Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong merangkap Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), iaitu parti komponen utama dalam GRS yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jamawi yang juga bekas pemimpin UMNO Sabah, pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dan memiliki pengaruh akar umbi yang kuat di kawasan pedalaman.
Beliau juga dikenali sebagai antara tokoh muda GRS yang lantang memperjuangkan pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan Tenom dan Kemabong.
Difahamkan, penyertaan beliau di bawah logo PKR pada PRN akan datang dianggap sebagai strategi politik berisiko tinggi tetapi taktikal, bagi memastikan kerusi tradisi GRS itu tidak berdepan pertembungan dengan calon BN.
Antara lain, Datuk Ruji Ubi, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini dilihat sebagai calon berpotensi kuat mewakili gabungan kerajaan di kawasan pantai timur Sabah.
Ruji yang berasal dari Semporna, dikatakan antara nama tumpuan yang bakal diketengahkan bagi menyaingi pengaruh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di kawasan tersebut.
Selain Ruji, anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Mohd. Yamani Hafez Musa turut dikatakan akan bertanding menggunakan logo PKR di kerusi DUN Sindumin, kawasan yang kini dianggap sebagai antara kubu utama baharu bagi gabungan kerajaan.
Difahamkan, pemilihan beberapa tokoh GRS untuk bertanding menggunakan logo PKR ini adalah hasil rundingan dalaman antara kepimpinan negeri dan Kerajaan Pusat yang masing-masingnya dikatakan memberi ‘restu’ kerana mahu mengelakkan pertembungan tiga penjuru melibatkan BN, PH dan GRS.
Langkah ini menunjukkan peralihan paradigma politik Sabah iaitu daripada politik kesetiaan parti kepada politik kelangsungan kuasa.
Namun, risiko tetap besar. Dalam konteks politik Sabah, lambang parti adalah identiti dan sebarang perubahan simbol boleh dianggap pengkhianatan oleh penyokong tradisi.
Inilah sebabnya strategi ini dilabel oleh sesetengah pemerhati sebagai suicide strategy iaitu satu langkah yang boleh membawa kemenangan, tetapi juga berpotensi menjerumuskan calon kepada kekalahan yang memalukan.
Langkah ini menunjukkan peralihan budaya politik negeri itu ke arah politik pragmatik dan strategi kuasa, bukan lagi kesetiaan mutlak kepada parti.
Ini bukan soal siapa berubah. Ini soal siapa lebih bijak menyesuaikan diri dengan realiti baharu politik Sabah. Dalam landskap politik berpecah, strategi berisiko tinggi seperti ini kadangkala menjadi jalan untuk terus kekal relevan.
Tetapi, apa yang pasti, PRN Sabah kali ini bakal menjadi medan ujian kepada sejauh mana rakyat memahami konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
Jika strategi ini berjaya, ia akan dilihat sebagai kejayaan besar percaturan politik Hajiji dalam mengekalkan kestabilan dan kerjasama pelbagai blok politik di bawah satu payung.
Namun jika gagal, ia akan memperkukuh tanggapan bahawa ‘strategi bunuh diri’ ini sebenarnya hanyalah langkah terdesak yang akan membuka ruang kepada Parti Warisan (Warisan) dan Perikatan Nasional (PN) untuk meraih sokongan rakyat.
Apa pun hasilnya, Sabah sekali lagi menjadi makmal politik Malaysia di mana batas antara strategi dan pengorbanan, antara keberanian dan kesilapan, semakin kabur.
Sama ada langkah ini akan tercatat sebagai taktik licik atau strategi memakan diri, hanya keputusan PRN nanti mampu menentukannya. – UTUSAN










