Beri maklumat palsu dalam MyKad, buruh binaan didenda RM4,000

Beri maklumat palsu dalam MyKad, buruh binaan didenda RM4,000

CHOO Kean Chee (kiri) diiringi oleh penguatkuasa JPN ketika hadir atas kesalahan memberi maklumat palsu ketika memohon kad pengenalan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada Februari lalu, didakwa di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang buruh binaan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan atau MyKad untuk seorang kanak-kanak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun lalu.

Choo Kean Chee, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Kean Chee didakwa dengan sengaja memberikan maklumat palsu melalui borang JPN.LM05 yang mengandungi butiran tidak benar bagi mendapatkan kad pengenalan atas nama Choo Li Quan (Daftar Lahir CQ56002). Tertuduh juga bertindak sebagai penganjur bagi permohonan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Seberang Perai Utara di sini, antara pukul 8 pagi hingga 5 petang pada 21 Februari 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat permohonan kad pengenalan di JPN cawangan Bertam bagi seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun namun kakitangan bertugas mengesan keraguan apabila wajah pemohon yag mengaku sebagai bapa tidak seiras dengan kanak-kanak terbabit.

Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak tersebut diperoleh daripada sindiket manakala semua dokumen sokongan yang digunakan turut disediakan oleh sindiket terbabit.

Susulan itu, kanak-kanak berkenaan telah menikmati keistimewaan sebagai warganegara Malaysia secara tidak sah selama 12 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Mohammad Faisal Abdullah, yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan kes pemalsuan bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri yang didalangi sidiket semakin berleluasa dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi, merayu hukuman ringan dikenakan susulan dia menghidap penyakit jantung.

“Tertuduh yang memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 juga mempunyai dua anak termasuk seorang berstatus OKU selain perlu menanggung ibunya yang uzur berusia 80 tahun,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN