PETALING JAYA: Belanjawan 2026 mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh asas fiskal negara yang diyakini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap projek-projek jangka panjang di Johor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, sebagai antara peneraju utama pembangunan wilayah Iskandar Puteri, IIB komited untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi Belanjawan 2026 melalui strategi yang memacu pertumbuhan ekonomi serantau, memperkukuh ekosistem bakat, serta memperluas pelaburan hijau dan inovasi digital.
Beliau berkata, IIB menyambut baik penekanan kerajaan terhadap pembangunan wilayah selatan Johor, khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, pelaksanaan Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) dan Johor Super Lane dijangka mempercepat proses kelulusan pelaburan, memperkukuh tadbir urus serta memudahcara urusan pelabur, sejajar dengan hasrat menjadikan Johor sebagai pintu gerbang pelaburan antarabangsa yang dinamik serta berdaya saing.
“Kejayaan JS-SEZ mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM37.1 bilion bagi separuh pertama tahun 2025, yang mewakili 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan negeri Johor, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi besar wilayah ini.
“Johor juga muncul sebagai negeri dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia bagi tempoh yang sama, dengan nilai FDI diluluskan berjumlah RM25.5 bilion, iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan FDI negara bagi separuh pertama 2025.
“Pencapaian ini memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan strategik negara hasil daripada pelaksanaan dasar mesra pelabur serta inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem pelaburan di wilayah selatan.
“IIB akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di bawah JS-SEZ bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara inklusif oleh rakyat dan komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.
Idzham berkata, IIB turut menyambut baik pengumuman peruntukan sebanyak RM200 juta oleh Khazanah Nasional Berhad bagi pelaksanaan Program K-Youth, yang akan memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, teknologi digital, kejuruteraan dan penyelenggaraan (MRO).
Selain itu, kata beliau, IIB berpotensi untuk bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi melaksanakan inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) dan Rangkaian Pusat Inovasi & Penyelidikan (RDCI) di bawah Agenda Inovasi Nasional.
Langkah itu katanya, akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai peneraju pembangunan digital dan pusat inovasi teknologi di wilayah selatan.
“Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian, IIB turut menyokong pelaksanaan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Green Investment Tax Allowance) yang diumumkan kerajaan, seiring dengan aspirasi IIB untuk menggalakkan pelaburan rendah karbon, penggunaan tenaga cekap serta pembangunan bandar pintar mesra alam di Iskandar Malaysia.
“IIB juga menyokong inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembangunan kemudahan penginapan pelajar bersama Universiti Malaya (UM), yang memperkukuh penyertaan GLC dalam memperluas pasaran sewaan (rental market) serta menyediakan kemudahan perumahan mampu milik untuk pelajar dan golongan muda,” katanya.
Tambah Idzham, bagi memastikan daya tahan kewangan jangka panjang, IIB turut bersedia memanfaatkan rangka kerja insentif Kerajaan Persekutuan seperti GEAR-Up dan jaminan SJPP sebagai sebahagian daripada strategi kitar semula modal (capital recycling) yang dapat memperkukuh keupayaan pelaburan dan kesinambungan pertumbuhan.
“Selaras dengan Tekad Tiga Belanjawan 2026 – Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi, IIB berhasrat untuk memposisikan dirinya sebagai “Southern Engine for National Rejuvenation”, memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, memperkukuh jaringan pelaburan rentas sempadan, dan menyumbang kepada kemakmuran negara secara menyeluruh,” katanya.










