Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 akan diwartakan Oktober ini

Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 akan diwartakan Oktober ini

CHOW Kon Yeow (enam dari kiri) ketika meninjau kemudahan taman permainan yang terdapat di Taman Mangga selepas merasmikan projek naik taraf kawasan lapang itu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kerajaan negeri dijangka mewartakan Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 selewat-lewatnya Oktober ini untuk dijadikan panduan terhadap pembangunan fizikal di kawasan tanah besar itu pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pewartaan tersebut juga penting bagi memastikan agar pembangunan Seberang Perai dapat dilaksanakan secara lebih terancang, sistematik dan mampan.

“Menerusi pewartaan rancangan tempatan yang pertama itu, satu rangka kerja pembangunan fizikal yang komprehensif akan disediakan bagi memastikan agar penggunaan tanah dapat dioptimumkan, di samping mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keperluan masyarakat setempat.

“Kita jangka pewartaan ini akan dibuat dalam masa beberapa bulan lagi iaitu selewat-lewatnya Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek naik taraf kawasan lapang Taman Mangga di sini, hari ini.

Ketika ini, katanya, proses pameran awam bagi Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 telah selesai dan sebaik sahaja pelan berkenaan diwartakan, semua permohonan penukaran zon guna tanah akan tertakluk kepada proses perundangan yang lebih tersusun dan ketat.

Menyentuh mengenai Draf Rancangan Tempatan (Pulau) Pulau Pinang 2030 pula, Kon Yeow memberitahu, dokumen tersebut ketika ini masih dalam proses semakan semula selepas beberapa kelemahan dikenal pasti dalam draf terdahulu.

“Draf yang telah dikemas kini itu bagaimanapun masih perlu melalui proses pameran awam sebelum boleh diteruskan ke peringkat seterusnya.

“Tetapi, saya masih yakin bahawa keseluruhan proses berkenaan dapat diselesaikan sebelum tahun 2030 atau mungkin lebih awal. Mungkin dalam masa setahun sahaja,” katanya.

Difahamkan, draf awal pelan tempatan bagi kedua-dua kawasan di Pulau Pinang itu telah disiapkan sejak 2008. Bagaimanapun, ia tertangguh sebelum sempat dilulus atau diwartakan susulan pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada masa itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN