PADANG TERAP: Kerajaan disaran mempertimbang peruntukan khas kepada semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara khususnya di luar bandar bagi membantu kelancaran aktiviti pelajar yang berdepan kekangan kewangan.
Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, kebanyakan sekolah terpaksa bergantung kepada inisiatif PIBG untuk mengutip sumbangan sendiri bagi menampung penganjuran program seperti mesyuarat PIBG, hari anugerah cemerlang dan aktiviti pelajar.
“Saya hendak zahirkan pandangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita tengok sekolah-sekolah di seluruh negara khususnya luar bandar banyak terkesan kerana setiap tahun PIBG kena cari duit sendiri melalui perasmi untuk biayai program sekolah.
“Saya banyak merasmikan mesyuarat PIBG dan hari anugerah cemerlang, saya nampak sendiri bagaimana sekolah berdepan kekangan kewangan sebab kadang-kadang hendak cari dana bukan mudah,” katanya kepada pemberita pada Program Kemasyarakatan di Kampung Sireh, hari ini.
Menurut beliau, sebelum pembentangan Belanjawan 2026 dilakukan, kerajaan boleh mengkaji pelaksanaan dana khusus itu dengan cadangan permulaan RM30,000 bagi setiap PIBG sekolah rendah dan RM50,000 sekolah menengah.
“Kita ada sekitar 12,000 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah yang diperlukan tidak sampai RM1 bilion, perkara lain kita boleh salur berbilion ringgit apa salahnya kita bagi untuk kegunaan sekolah, PIBG, guru dan pelajar yang buat program kerana pendidikan elemen terpenting negara.
“Tetapi kita tetapkan syarat, penyaluran dana itu perlu dilaksanakan secara berstruktur dengan sekolah atau PIBG perlu menyediakan kertas kerja program tahunan mereka bagi memastikan peruntukan digunakan secara telus dan memberi impak kepada murid,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan disaran memudahkan proses bagi golongan belia berusia 16 tahun ke atas memiliki lesen agar mereka tidak terlepas daripada menikmati manfaat Inisiatif Bantuan Madani RON95 (BUDI95) yang menawarkan harga petrol pada kadar RM1.99 seliter.
Menurut Zuraidi, ramai anak muda belum memiliki lesen kerana berdepan kekangan tertentu, termasuk kerumitan urusan pendaftaran sedangkan rata-rata mereka yang terdiri dalam kalangan pelajar sekolah sudah mempunyai kemahiran asas menunggang motosikal.
“Kita tidak boleh nafi di kawasan luar bandar khususnya, ramai anak muda menunggang motosikal tanpa lesen, disebabkan itu juga mereka tidak layak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter ketika ini, walhal kerajaan buat BUDI95 khusus untuk bantu rakyat.
“Jadi saya cadang kepada kerajaan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar laksana pendekatan lebih mudah dengan menyediakan kemudahan sehenti bagi proses pengambilan lesen, termasuk diadakan program khas di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang merangka program pengambilan lesen secara khas kepada golongan belia di daerah itu tidak lama lagi bagi memastikan setiap rakyat yang layak dapat menikmati BUDI95. – UTUSAN










