GUA MUSANG: Lebih 10,000 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara yang berstatus kontrak mengharapkan penambahbaikan skim perjawatan mereka dalam Belanjawan 2026.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, sebelum ini Kemas telah melakukan beberapa usaha untuk membantu penjawat termasuk guru yang berada di dalam perkhidmatan antara 15 tahun hingga 40 tahun untuk mendapat manfaat daripada skim jawatan tetap bercarum.
Katanya, Kemas sudah lama memperjuangnasib kakitangannya dan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Usaha ini sudah berjalan lama kita telah mengadakan perbincangan untuk mengusahakan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan.
“Kerajaan mempunyai perancangan untuk memperkenal skim jawatan tetap bercarum dan bagi saya warga Kemas tidak ada masalah asalkan mereka menjadi sebagai penjawat tetap,” katanya selepas Program Santunan Desa Kemas Negeri Kelantan dan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) di Dewan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di sini hari ini.
Mohd. Hanafiah berkata, kebanyakan penjawat Kemas masih berstatus kontrak dan berharap mereka diserap kepada jawatan tetap. – UTUSAN










