Bekas pembantu peribadi didakwa pecah amanah lebih RM25,000

Bekas pembantu peribadi didakwa pecah amanah lebih RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat melebihi RM25,000, beberapa bulan lalu.

Tertuduh, Roziyanti Hussin, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja di sebuah syarikat hartanah didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM25,359.95 daripada akaun syarikat itu ke akaun peribadinya di antara 7 Julai dan 23 Ogos 2025, di Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan berkata, kesalahan itu bersifat tidak boleh dijamin (non-bailable offence) namun pihak pendakwa menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk mengenakan jaminan.

Sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, peguam bela, Aizat Lukman Johan yang mewakili Roziyanti memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya kini tidak lagi bekerja. 

Katanya, anak guamnya hanya bergantung kepada suaminya yang juga seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) akibat masalah tulang belakang dengan pendapatan sekitar RM2,800 sebulan.

“Anak guam saya juga penerima bantuan Baitulmal dan menanggung ibunya dengan komitmen bulanan sebanyak RM1,000. Beliau mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun dan baru menjalani pembedahan pada usus.

“Ini merupakan kesalahan pertama anak guam saya dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Kami mohon mahkamah mempertimbangkan jaminan serendah RM5,000,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah menetapkan 24 November ini bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×