Bayi lima bulan antara mangsa banjir selepas rumah dinaiki air 1 meter

Bayi lima bulan antara mangsa banjir selepas rumah dinaiki air 1 meter

NORATIKA Hairolnizam (kiri) memangku Arif Hakimi bersama ibunya, Noratikah Abd. Aziz di PPS SK Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan antara mangsa banjir selepas kediaman keluarganya di Kampung Seri Menanti dinaiki air setinggi kira-kira satu meter secara mendadak awal pagi tadi.

Bayi tersebut, Arif Hakimi bersama ibu bapanya, Noratikah Hairolnizam, 24, dan Putera Mohd. Amirul Haikal, 25, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas air mula melimpah masuk ke rumah sekitar jam 6 pagi, sejurus selesai solat Subuh.

Menurut Noratikah yang bekerja sebagai penghantar barangan di Kulai, kejadian berlaku pantas apabila air dari sungai berhampiran mula memenuhi tandas dan dapur.

“Malam tadi hujan lebat dengan guruh. Lepas Subuh dengar bunyi air masuk… tandas dan dapur dah penuhi air,

” Rumah kami kira-kira 500 meter dari sungai berhampiran, bila air sungai penuh memang kawasan ni cepat naik air,” katanya ketika ditemui di PPS SK Melayu Raya, Pekan Nanas, disini, hari ini.

Noratikah menambah, ini merupakan kali ketiga kawasan itu dilanda banjir tahun ini, selepas insiden pada Januari dan Mac lalu.

Katanya, pada awal dan hujung tahun biasanya berlaku banjir pada setiap tahun.

” Banjir pagi ini, kali ketiga berlaku,Cuaca pun tak menentu. Kami baru pindah ke PPS bulan Ogos lalu, bila jadi begini memang kelam-kabut ,” katanya yang bersyukur kerana seorang rakan datang membantu meredah air sejauh 500 meter dalam keadaan gerimis sambil mendukung bayi yang menangis.

Sementara itu, ibu Noratikah, Noraini Abdul Aziz, 47, berkata kawasan berkenaan sememangnya menjadi lokasi pertembungan air sungai yang menyebabkan limpahan berlaku dengan cepat.

Menurutnya, PPS dibuka sekitar jam 6.30 pagi dan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama sukarelawan persendirian segera membantu membawa penduduk keluar.

“Kami dah bersedia sebab sebelum ni, bulan Januari dan Mac pun berpindah ke PPS kerana banjir sama,” katanya.

Setakat jam 7 pagi, seramai 14 keluarga dari Kampung Paya Embun, Mukim Pontian 11, dipindahkan ke PPS berdekatan sebagai langkah keselamatan.

Turut berpindah sama penduduk Kampung Seri Menanti, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Raya, Parit Pak Khalib dan Kampung Sepakat Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN