ALOR SETAR: Seramai 107 penduduk di 10 kampung dekat Langgar, di sini masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar ekoran rumah masing-masing masih digenangi air akibat banjir sejak Sabtu lepas.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, antara kampung terlibat ialah Kampung Alor Raja, Kampung Makam Diraja, Kampung Limbong, Kampung Alor Setol dan Kampung Pokok Asam.
“Turut terlibat, Pondok Haji Ahmad, Kampung Tanjung Inggeris, Kampung Alor Besar, Kampung Pagar Air dan Kampung Pondok Syeikh. Setakat ini banyak kawasan yang sudah mula surut cuma air agak perlahan.
“Sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat ini air akan surut dan mangsa boleh pulang ke rumah, APM akan membuat pemantauan di kawasan terlibat dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan penduduk berdekatan dengan Sungai Pendang, Pendang supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan paras air sungai itu pada tahap waspada ketika ini.
“Trend menaik sejak pukul 11 pagi hari ini dan anggota APM membuat pemantauan di kawasan terlibat,” katanya.
Sementara itu menurut seorang mangsa, Mahanum Ahmad, 62, dari Pondok Haji Ahmad, mereka 10 beranak belum dapat pulang ke rumah kerana air masih bergenang di bahagian dapur.
“Nak balik pun susah sebab dapur masih ada air yang tidak surut sejak Sabtu lepas selepas naik mendadak sehingga paras dada sebelum kami terpaksa berpindah ke PPS sehari kemudian untuk menyelamatkan diri.
“Ini adalah kejadian terburuk sejak 2010. Kami berharap dapat pulang segera, kalau tidak hujan tentu sudah boleh pulang kerana nak tengok barang dalam rumah yang tentu ada rosak sebab terendam air,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk Kampung Pokok Asam, Mohd. Zamri Zaidin, 44, memberitahu, rumahnya turut terjejas apabila dinaiki air sehingga paras lutut sejak Sabtu lepas.
“Kami tidak berpindah sebab cuma bahagian dapur dan halaman rumah sahaja air naik tetapi terpaksa berkurung dalam rumah termasuk tiga anak saya sejak Sabtu lepas.
“Rumah kami tepi sungai jadi air susah nak surut tambahan pula dengan fenomena air pasang besar. Risau juga takut haiwan berbisa kalau air belum surut,” ujarnya. – UTUSAN










