KUALA TERENGGANU: Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, atau dikenali sebagai Azlan Al Amin selepas dia ditahan semula bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan urus niaga tanah melibatkan kerugian RM35,000.
Mohamad Azlan ditangkap semula oleh sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.
Terdahulu, Mohamad Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan melakukan khianat dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 selepas mengaku tidak bersalah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, penahanan semula itu bagi membantu siasatan kes melibatkan seorang pesara guru yang didakwa menjadi mangsa penipuan pada 2023.
“Mangsa dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM35,000 akibat urus niaga tanah yang dipercayai tidak wujud.
‘Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa untuk permohonan reman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Khairi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menjalankan sebarang urus niaga jual beli tanah atau hartanah serta memastikan semua dokumen disemak dan diuruskan melalui saluran sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN










