Aset baharu lonjak keupayaan Maritim Malaysia kawal perairan negara - Utusan Malaysia

Aset baharu lonjak keupayaan Maritim Malaysia kawal perairan negara

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan aset udara dan permukaan baharu yang diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mampu melonjakkan keupayaan rondaan jarak jauh serta kawalan keselamatan perairan negara.

Antara aset yang diperoleh termasuk sebuah kapal peronda luar persisir (OPV) KM Bendahara bersaiz besar, empat helikopter AV189, dua kapal pelbagai guna (MPMS), empat bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan 23 bot Rigid Hull Fender Boat (RHFB).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesemua aset tersebut akan digunakan secara optimum dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi memperkukuh pengawasan maritim, terutamanya di kawasan berisiko tinggi atau ‘hotspot’ jenayah laut.

“Langkah ini memberi tumpuan kepada rondaan jarak jauh, operasi pantas di perairan pesisir dan pemantauan udara lebih meluas.

“Maritim Malaysia juga akan melaksanakan penyusunan semula strategi rondaan dengan memberi tumpuan kepada kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), sempadan negara serta laluan perairan utama yang berisiko tinggi.

“Pengoperasian aset baharu seperti kapal peronda generasi baharu, bot pemintas berkelajuan tinggi dan helikopter pengawasan membolehkan tindakan diambil dengan lebih cepat dan efektif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung langkah yang akan diambil bagi memastikan aset baharu Maritim Malaysia digunakan secara optimum untuk membanteras jenayah maritim di perairan negara dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Shamsul Anuar berkata, menerusi keupayaan baharu itu, pihak Maritim Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan kehadiran penguat kuasa di kawasan kritikal, tetapi juga memastikan tindakan balas segera terhadap pencerobohan dan aktiviti jenayah maritim dapat dilakukan.

Jelasnya, pendekatan berfokus itu dijangka menutup jurang rondaan di lokasi strategik, sekali gus mengukuhkan kawalan perairan negara sebagai negara maritim yang berdaulat.

“Selain itu, pengurusan aset bersepadu turut dipertingkat melalui gabungan teknologi pintar seperti sistem pemantauan radar bersepadu dan pengawasan laut automatik.

“Langkah ini disokong oleh penyelenggaraan aset secara berjadual dan penempatan berdasarkan keutamaan operasi semasa, termasuk integrasi operasi bersama dengan agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin, ATM dan Jabatan Perikanan,” katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan turut menetapkan beberapa Indikator Prestasi Utama (KPI) bagi menilai keberkesanan penggunaan dan penyelenggaran aset dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Antaranya adalah tahap kesiapsiagaan aset, bilangan rondaan yang berjaya, keberkesanan tindakan terhadap pencerobohan, peningkatan jumlah tangkapan dan rampasan serta keberhasilan operasi bersepadu.

“Penyelarasan dengan agensi lain terus dilakukan bagi mengelak pertindihan tugas dan memastikan sumber negara digunakan secara efisien,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN