KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta negara ASEAN membantu mempercepatkan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bagi memastikan usaha damai dapat dicapai membabitkan isu konflik Thailand dan Kemboja.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 berkata, usaha itu penting bagi memperkukuhkan keamanan rantau ini.
“Saya menyeru semua negara ASEAN bukan sahaja menyokong usaha damai ini, tetapi turut membantu mempercepatkan penubuhan AOT.
“Adalah harapan bersama kita agar keamanan dan kepercayaan akan terus berkembang antara kita semua kerana ini lebih daripada sekadar isu sempadan.
“Ia adalah bukti kepada reputasi dan keupayaan ASEAN untuk meraih keyakinan serta menyelesaikan konflik secara aman,” katanya ketika ucapan pembukaan ADMM Ke-19 di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, ASEAN juga harus kekal komited untuk membantu Myanmar menyelesaikan konflik ketenteraannya supaya negara itu kembali berpengaruh dalam kesatuan itu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja kerana memberikan kepercayaan terhadap Malaysia untuk membantu memudah cara dan mempercepatkan penyelesaian aman pertikaian sempadan mereka.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua negara ASEAN, termasuk rakan-rakan kita seperti Amerika Syarikat, atas sokongan berterusan terhadap usaha ini,” katanya.
Tambahnya, pengaruh dan keupayaan ASEAN yang semakin meluas dalam menghimpunkan pelbagai pihak adalah bukti negara-negara luar mempercayai pendekatan ASEAN.
ADMM Ke-19 dan Mesyuarat (ADMM-PLUS) yang bermula hari ini dijangka menerima pakai 20 inisiatif baharu.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, tumpuan utama ialah kepada kenyataan bersama mengenai kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) sempena ADMM dan ADMM-PLUS yang membabitkan Amerika Syarikat, Jepun, China dan India.
Beberapa pencapaian penting lain turut diumumkan antaranya Penyertaan Timor-Leste yang pertama kali menyertai ADMM dan ADMM-Plus sebagai anggota ASEAN Ke-11.- UTUSAN










