ASEAN fokus muktamadkan DEFA menjelang 2026

ASEAN fokus muktamadkan DEFA menjelang 2026

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-26 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Layanan terhadap duti kastam ke atas penghantaran elektronik merupakan antara dua agenda utama Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Perkara itu merupakan antara fokus Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) hari ini di samping pelaksanaan komitmen perkhidmatan kewangan berkaitan lokasi kemudahan pengkomputeran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu turut membincangkan kemas kini pelan kerja ke arah pemuktamadan DEFA menjelang 2026 yang sebagai pelan hala tuju strategik memperkukuh kerjasama digital rantau ini.

Katanya, pemimpin ASEAN menyatakan keyakinan terhadap kemajuan yang dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan DEFA ke-14 yang berlangsung awal bulan ini dengan pelbagai hasil nyata yang menunjukkan komitmen kukuh negara anggota untuk mencapai kemajuan bersama.

“Saya berbesar hati melihat penyatuan pandangan yang semakin meningkat dalam kalangan negara anggota ASEAN, hasil koordinasi kukuh oleh pasukan rundingan serta sokongan berterusan daripada Setiausaha Agung ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN dalam DEFA sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Tengku Zafrul berkata, DEFA bukan sekadar mempercepatkan inovasi digital, tetapi juga berperanan penting dalam memastikan penyertaan inklusif dan saksama, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pemula di seluruh rantau.

“Ini agar mereka turut mendapat manfaat daripada ekosistem digital ASEAN.

“Dalam semangat ASEAN yang berteraskan konsensus, keterangkuman dan manfaat bersama, kita harus kekal berani dan berpandangan jauh untuk melahirkan DEFA yang berkualiti tinggi dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Beliau meletakkan keyakinan, sesi itu membuka haluan tindakan konkrit ke arah pemuktamadan DEFA tepat pada masanya menjelang 2026, sekali gus mengukuhkan peranan ASEAN sebagai peneraju dalam membentuk ekonomi digital global.

DEFA merupakan inisiatif strategik ASEAN untuk memanfaatkan kuasa pendigitalan bagi memangkin perdagangan serantau yang lebih lancar dan selamat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN