APEC perlu jadi jambatan ekonomi global yang adil

APEC perlu jadi jambatan ekonomi global yang adil

ANWAR Ibrahim ketika sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, malah dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sepatutnya memacu ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dengan negara membangun (Global North dan Global South).

“APEC terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.

“Kini, APEC sedang memupuk idea baharu seperti pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan keterangkuman teknologi, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara semasa sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.

Perdana Menteri berkata, selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, keyakinannya semakin teguh bahawa dialog dan kerjasama serantau merupakan suatu keperluan mendesak.

“Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.

“Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN