PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Lesen Pengendali syarikat lori LDT Metal Trading yang terlibat dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (SILK) berkuat kuasa hari ini.
APAD menerusi kenyataan memaklumkan, hasil siasatan syarikat itu gagal mematuhi syarat keselamatan termasuk pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada kenderaan perdagangan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali berkenaan.
Katanya, pembatalan lesen itu dilaksanakan selaras peruntukan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Dengan pembatalan lesen tersebut, syarikat berkenaan tidak lagi dibenarkan mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan kenderaan yang dilesenkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut APAD, siasatan mendapati kegagalan LDT Metal Trading mematuhi syarat-syarat lesen turut mengabaikan aspek keselamatan pengguna jalan raya lain.
“APAD memandang serius insiden kemalangan melibatkan lori muatan barangan lusuh milik syarikat itu yang membabitkan empat kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang pada 27 September lalu.
“Kemalangan itu meragut nyawa seorang bayi selain mencederakan tujuh mangsa lain,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, APAD tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan serta mengancam keselamatan orang awam.
“Semua pengendali berlesen diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan pembatalan lesen.
“APAD kekal komited untuk mewujudkan ekosistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, efisien, selamat dan berdaya saing, selaras dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan,” katanya.
Pada Sabtu lepas, kemalangan melibatkan sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) di Plaza Tol Bukit Kajang, mengakibatkan seorang bayi lelaki berusia setahun maut, dan tujuh individu lain cedera. – UTUSAN










