MIAMI: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengakui kemenangan dramatik 3-2 ke atas Cape Verde selepas masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 meninggalkan kesan paling mendalam sepanjang 100 perlawanannya membimbing juara dunia itu.
Walaupun Lionel Messi meletakkan Argentina di depan sebelum Deroy Duarte dan Sidny Lopes Cabral dua kali menyamakan kedudukan buat Cape Verde, jaringan sendiri Diney Borges akhirnya memastikan La Albiceleste mara ke pusingan 16 terbaik menentang Mesir.
“Daripada 100 perlawanan yang saya kendalikan, inilah yang paling memberi kesan kepada saya sebagai jurulatih.
“Memang gila jika kami tewas dalam perlawanan seperti ini,” kata Scaloni.
Menurut Scaloni, aksi berdepan negara kecil Afrika itu membuktikan tiada lagi lawan yang boleh dipandang mudah pada kejohanan kali ini meskipun Argentina sebelum itu dianggap menerima laluan lebih mudah ke suku akhir.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pihak lawan kerana apabila orang berkata tiada lagi perlawanan yang mudah, hari ini mereka membuktikan mereka adalah pasukan yang hebat.
“Saya bangga dengan sumbangan semua pemain kerana kami menamatkan perlawanan dalam keadaan terlalu letih, namun mereka memberikan segala-galanya hingga wisel penamat,” katanya.
Argentina akan berdepan Mesir di Atlanta, Rabu ini bagi memburu tiket ke suku akhir, namun Scaloni percaya pasukannya perlu segera memperbaiki prestasi selepas dipaksa bekerja keras oleh Cape Verde yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia. – AGENSI










