JOHOR BAHRU: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengakui parti itu turun bertanding sebagai ‘underdog’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding parti lain dan tetap optimis mampu memperkenalkan perjuangan parti kepada lebih ramai pengundi.
Calon PSM Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Amir Syafiq Ameer Soekre, 40, berkata, pihaknya menyedari saingan sengit yang bakal dihadapi apabila berdepan calon daripada parti lebih besar seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Tidak dinafikan kami ‘under dog’, namun kami ada matlamat besar iaitu memaklumkan kewujudan PSM dalam kancah politik tempatan sebagai wadah perjuangan mereka. Untuk dekati rakyat, saya akan gunakan kempen hibrid iaitu kaedah konvensional dan atas talian.
“PSM sudah lama angkat isu-isu rakyat, masalah pekerja, infrastruktur awam, gaji minimum, warga emas dan lain-lain. Di DUN Skudai, kita akan angkat isu perumahan, alam sekitar dan gaji bermaruah kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Amir Syafiq, PSM mengambil keputusan bertanding PRN Johor bagi memperjuangkan nasib rakyat marhaen di negeri ini.
Katanya, perkara itu sejajar hasratnya menyertai parti tersebut sejak lima tahun lalu kerana tertarik dengan konsep perjuangan demi golongan petani, pekerja bawahan, peneroka serta golongan tertindas lain.
“Saya bekerja sebagai seorang eksekutif jualan dan telah bersama PSM selama lima tahun. Saya sertai parti ini kerana tertarik dengan perjuangan mereka demi rakyat bawahan di negara ini.
“Apabila dipilih sebagai calon, saya tidak ragu-ragu menerimanya dengan hati teruja kerana boleh menggunakan platform ini untuk memperjuangkan agenda sosialisme PSM,” katanya.
Tambah Amir Syafiq, DUN Skudai dipilih untuk ditandingi parti itu kerana mempunyai demografik masyarakat bandar seperti kelas pekerja dan golongan peneroka bandar yang merupakan sasaran perjuangan pihaknya.
“Kami juga merasakan rakyat Skudai harus berterusan mendapat wakil rakyat yang baik setelah penyandangnya, Marina Ibrahim dipindahkan keluar kerana percaturan politik DAP walaupun telah melakukan kerja yang baik sebagai wakil rakyat.
“Sehubungan itu, kami melihat terdapat kekosongan yang boleh dimanfaatkan PSM. Oleh itu kami harap rakyat akan memilih kami sekaligus menyuarakan hasrat mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN










