Anggota penguat kuasa JPJ kini dilengkapi kamera badan

Anggota penguat kuasa JPJ kini dilengkapi kamera badan

ANGGOTA JPJ menunjukkan pemakaian kamera badan di Kementerian Pengangkutan Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilengkapi dengan alat perakam badan (BWC) bertujuan meningkatkan integriti, ketelusan serta melindungi mereka daripada tomahan serta tuduhan tidak berasas ketika menjalankan tugas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 100 unit kamera badan akan dibekalkan membabitkan pegawai penguatkuasa di ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta.

Beliau berkata, inisiatif ini penting bagi bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.

“Penggunaan BWC membuktikan komitmen JPJ untuk melaksanakan penguatkuasaan berasaskan bukti dan memastikan setiap tindakan di lapangan dapat dirakam, dinilai serta dipantau secara objektif.

“Kita tahu apabila buat tindakan seperti ini, sudah tentu akan ada ugutan dan tomahan, ada yang kata anggota JPJ mahu ambil rasuah dan sebagainya.

“Sebab itu saya arahkan supaya anggota yang ditugaskan dalam operasi khas dilengkapkan dengan kamera dan juga pistol bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu bukan sahaja untuk melindungi pegawai daripada tuduhan tidak berasas tetapi juga menjadi bukti terhadap sebarang bentuk salah laku atau ketidakpatuhan oleh pengguna jalan raya.

Loke berkata, beliau turut memberi amaran keras kepada pemandu agar tidak bertindak agresif terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.

“Saya nak ingatkan kepada pemandu-pemandu luar, jangan bertindak agresif. Semua tindakan anda akan dirakam dan jika ada cubaan bertindak fizikal terhadap anggota JPJ, tindakan jenayah akan diambil,” katanya.

Katanya, semua rakaman BWC akan diaktifkan sebaik sahaja anggota melapor tugas dan tidak boleh dimatikan sehingga tugasan selesai dan jika rakaman dimatikan tanpa sebab, mereka akan disiasat pegawai atasan.

Jelasnya lagi, pelaksanaan BWC akan menjadi pemangkin kepada transformasi budaya kerja penguatkuasaan, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan tindakan JPJ dan memperkukuh sistem tadbir urus perkhidmatan awam.

“Ini bukti komitmen JPJ untuk melaksanakan tugas secara tegas, profesional dan berintegriti tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN