Amanah Johor bersedia pertarungan tiga penjuru

Amanah Johor bersedia pertarungan tiga penjuru

amanah
Amanah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor siap sedia pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan tiada komitmen kerjasama ditunjukkan Barisan Nasional (BN) negeri sejak kerajaan Perpaduan ditubuhkan di peringkat pusat, tiga tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, realitinya Pakatan Harapan (PH) di Johor adalah pembangkang dan tidak wujud sebarang perkongsian kuasa antara kedua-dua gabungan di peringkat negeri.

Katanya, Amanah Johor sedang dan memperkukuh seluruh jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang tanpa menjalin perbincangan dengan mana-mana pihak.

“Amanah Johor berpendirian bahawa rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN di Johor adalah tidak relevan kerana kerajaan Perpaduan itu sendiri tidak wujud di peringkat negeri.

“Usul pertandingan tiga penjuru ini lahir daripada suara akar umbi Amanah Johor yang kecewa dengan sikap angkuh dan sombong beberapa pimpinan UMNO dan BN Johor yang seolah-olah memperlekeh semangat setiakawan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, sedangkan PH merupakan tunggak utama pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, Amanah Johor yang memiliki satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen akan sukar diperluaskan sekiranya gabungan dengan BN berlaku susulan majoriti kerusi ditandingi Amanah sebelum ini dimenangi BN.

“Kerjasama dengan BN hanya akan menguntungkan sebelah pihak dan menjejaskan peluang Amanah. Sehubungan itu, Amanah Johor menolak sebarang usaha untuk bekerjasama atas nama kerajaan Perpaduan.

“Namun sekiranya UMNO dan BN Johor benar-benar berhasrat untuk bersendirian, maka mereka perlu berani mengisytiharkan pendirian tersebut sekarang dan bukan bermain teka-teki serta melengah-lengahkan keputusan yang hanya mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya kekal dengan prinsip perjuangan untuk membela rakyat, memperkukuh reformasi dan mempertahankan integriti politik di Johor tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba mendominasi semangat muafakat dalam sesuatu gabungan kerjasama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN