Bait-bait qasidah Man Ana dialunkan dengan penuh merdu, membuai perasaan penonton yang hadir. Alunan indah dan syahdu oleh 22 murid anggun berjubah ungu berjaya mencuri tumpuan hadirin.

Kumpulan Soutul Izzah yang bermaksud Suara Kemuliaan sesekali kelihatan sebak, menggambarkan penghayatan mendalam terhadap makna di sebalik qasidah tersebut.
Man Ana, yang bermaksud ‘Siapa Aku’, merupakan syair pujian yang mengangkat martabat dan jasa seorang guru.
Lagu tersebut bukan sekadar puisi indah, malah menjadi lambang penghargaan terhadap peranan seorang murabbi, atau pendidik dan yang tertinggi daripadanya ialah Rasulullah SAW sebagai Murabbi Agung umat Islam.
Qasidah ini menyatakan rasa syukur dan cinta seorang murid terhadap gurunya yang telah mendidik dan memberi ilmu, dengan mesej tanpa guru, seorang murid tidak akan mengenal diri, apatah lagi mencapai kejayaan.
Bagi murid-murid Sekolah Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas, Kuala Lumpur qasidah ini amat dekat di hati.

Ini kerana guru pembimbing mereka, Hishamuddin Said, menghembuskan nafas terakhir pada Julai lalu, hanya beberapa bulan sebelum pertandingan. Pemergian beliau akibat penyakit kanser menjadi pembakar semangat buat semua murid untuk memberikan persembahan terbaik.
Mereka akhirnya berjaya menjadikan kemenangan di Festival Gema Qasidah Peringkat Kebangsaan 2025 sebagai hadiah paling bermakna buat arwah guru tercinta.
Festival tersebut diadakan di Hotel Taiping Perdana dan dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, Taiping. Sebanyak 12 kumpulan daripada seluruh negara berhimpun di peringkat akhir, setelah melepasi saringan awal yang melibatkan 33 pasukan melalui rakaman video.
GILAP BAKAT
Semasa sesi rakaman qasidah itu, Afia Sophia Abu Zaid, 11, memberitahu dia berasa sebak sehingga terpaksa menangguhkan latihan dan sesi rakaman seketika.
Kongsinya, jasa Allahyarham begitu banyak kerana beliau juga yang pernah mencadangkan tema pakaian berwarna ungu bagi pertandingan tahun ini.
“Kami cuba kuatkan semangat dan sentiasa mengingati pesan nasihat arwah. Kami berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dan hadiah kemenangan ini didedikasikan khas buat arwah,” kongsinya.
Pengasas kumpulan Soutul Izzah, Mohamad Adam Nawawi yang merupakan guru di sekolah tersebut memberitahu, murid sekolah itu terkenal dengan semangat keberanian.
Malah, mereka mempunyai bakat yang sangat baik daripada segi kesenian dan vokal, namun menjadi cabaran kerana mereka sudah terbiasa dengan lagu-lagu moden dalam Bahasa Inggeris atau Kpop.
“Saya berdepan kesukaran mengubah lahjah dan lidah anak-anak ini kerana mereka sudah terbiasa bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan qasidah ini dalam irama padang pasir atau lahjah arab,” katanya yang mula mengajar di sekolah itu sejak 2016.
Mengulas lanjut, Adam berkata, kumpulan qasidah sekolah itu sebenarnya diwakili oleh kumpulan nasyid yang sekurang-kurangnya mahir tentang pecahan suara dan teknik nyanyian.
“Anak-anak yang sama cuma pertambahan ahli kerana bilangan nasyid hanya sembilan orang. Qasidah pula memerlukan 20 peserta. Lebih terharu, kami berjaya mengekalkan kejayaan selepas muncul johan pada tahun lalu,” katanya.
Kumpulan ini turut dibantu oleh Mohd Khair Shamsuddin, Huda Syafinaz Badri, Rokhiah Aziz, Hanani Ahmad dan Haryani Mohd yang melibatkan peserta berusia antara sembilan hingga 12 tahun.
Pertandingan kali ini merupakan penyertaan kali keempat buat kumpulan Soutul Izzah. Untuk rekod, kumpulan ini pernah menyertai pertandingan sama ada 2017, 2018, 2023 dan tahun lalu.
Pertandingan berlangsung selama sehari itu melibatkan kerjasama Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum Kementerian Pendidikan.

Kesemua peserta yang mewakili sekolah masing-masing akan mendapat kredit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Kumpulan Soutul Izzah turut dianggotai oleh Nur Jazlyn Aaila Junaidi, Ayla Sameeha Basmeih Sheikh Muhammad Basmeih, Nur Afiqah Noor Naim, Afia Sophia Abu Zaid, Nik Nilofer Humayraa Mohamad Saiful Dzulhelmi, Puteri Amily Ashraf, Seri Elena Thomas, Zara Eryna Muhamad Zaim, Airys Amani Ezwan.
Turut dibantu Medina Hafiz, Nur Adelia Mohd Hazlan, Nur Nia Qaireena Mohamad Farid, Qysha Ariana Noor Shafitri, Ayesha Zahraa Nurul Muhammad Zaidi, Hannah Mohd Aswad, Irhamna Insyirah Shafiq Iqbal, Khameela Ariana Rose Ekhzani Attamimi, Nur Afiqah Awliya Azlan, Nur Naurah Adni Farsul Faris, Arissa Adriana Mohd Hadi, Nur Azzaela Mohd Sah Rizan, Tengku Alina Adriana Tengku Asmawi.










