PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan menerima 220 perjawatan baharu dengan keutaaman diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu bukan sahaja menambah kekuatan tenaga kerja tetapi turut membawa masuk pengalaman dan disiplin tinggi dalam kalangan bekas anggota tentera.
Beliau berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 itu adalah sebahagian usaha kerajaan memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.
“Selepas pengumuman itu dibuat, saya sendiri menerima banyak pertanyaan daripada bekas anggota tentera. Ada yang datang terus ke pejabat hantar ‘resume’.
“Dalam kalangan mereka ini bukan calang-calang kerana ada yang berpangkat Kolonel, Leftenan Kolonel dan Mejar,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS di sini, semalam.
Katanya, kehadiran veteran ini dilihat sebagai langkah strategik kerana mereka mempunyai pengalaman luas dari aspek disiplin, pertahanan dan keselamatan negara.
Mohd Suhaily berkata, pengambilan tersebut akan dibuat berdasarkan model Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di mana ia berbentuk kontrak perkhidmatan, bukannya lantikan tetap sebagai penjawat awam.
“Sambutan yang diterima menunjukkan minat tinggi dalam kalangan veteran untuk terus menyumbang kepada keselamatan negara walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan tentera.
“Saya anggap ini satu peluang dua hala di samping veteran masih dapat berbakti serta negara mendapat tenaga berpengalaman untuk menjaga sempadan,” katanya.
Katanya, beliau percaya penyertaan veteran berkenaan dalam AKPS akan memberi nilai tambah kepada kekuatan agensi.
Dalam pada itu, Mohd Suhaily berkata, kekuatan AKPS adalah terletak pada integriti setiap anggotanya.
Justeru, katanya, beliau berhasrat menjadikan AKPS dihormati bukan kerana rasa takut, tetapi kerana ketegasan dan profesionalisme dalam menjalankan amanah menjaga sempadan negara.
“Selepas genap setahun beroperasi, perjalanan AKPS bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan penyatuan pegawai daripada pelbagai agensi seperti Imigresen, Kastam, MAQIS dan Perhilitan di bawah satu bumbung.
“Proses ini seperti penggabungan dalam dunia korporat. Ada yang rasa berat hati, ada yang masih menyesuaikan diri, tapi saya bersyukur pasukan saya kuat dan komited,” katanya.










