KUALA TERENGGANU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama tujuh individu lain ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang tular dalam media sosial Jumaat lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood selama tiga hari sehingga Isnin ini ke atas mereka.
Tujuh suspek dalam kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala mangsa berusia 36 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Dalam prosiding reman hari ini, lelaki bergelar Datuk itu bersama enam yang lain diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yassir manakala mangsa yang juga pengadu diwakili Mohd. Fakhrul Fikri Mokhtar.
Terdahulu, kesemua suspek berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendapen Azamuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa pada pukul 1.32 pagi Sabtu berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berlaku kira-kira 11 malam di hadapan sebuah rumah di Jerteh, di sini.
“Berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan individu ketika sedang membuat siaran langsung menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham yang timbul antara mereka,” katanya.
Kata beliau, berlaku pertengkaran apabila mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti diminta suspek sebelum beberapa ahli keluarga suspek keluar dan berlaku pergelutan.
“Dalam kejadian itu, telefon bimbit digunakan mangsa untuk membuat siaran langsung turut diambil oleh salah seorang ahli keluarga suspek,” katanya.
Azamuddin berkata, mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di kepala, siku, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh selain kenderaannya turut mengalami kerosakan. – UTUSAN










