KUALA LUMPUR: Pelakon, Aedy Ashraf, meluahkan rasa syukur dan teruja selepas namanya diumumkan tercalon dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 dan menganggap pengiktirafan ini titik penting dalam perjalanan seninya.
Bagi Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi,32, pencalonan itu bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi hasil kerja keras seluruh pasukan yang bersama-sama membina setiap karakter dan karya yang pernah dibawanya.
“Saya sangat bersyukur dan terharu dicalonkan di FFM, ini bukan perkara kecil, ini adalah satu penghargaan besar bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk semua yang percaya dengan perjalanan saya selama ini.
“Kejayaan ini datang selepas pelbagai fasa jatuh bangun saya dalam dunia seni terutamanya apabila saya bereksperimen dengan pelbagai watak daripada drama romantik hingga filem aksi dan komedi seperti Klepet.
“Walaupun sudah lama dalam industri, saya masih belajar. Bila ada pengiktirafan seperti ini, saya rasa ini adalah satu bentuk motivasi untuk terus berkarya dan cuba keluar dari zon selesa.
“Menang itu bonus, tetapi bagi saya bila orang nampak hasil kerja kita dan letakkan nama kita sebaris dengan pelakon hebat lain, itu sudah cukup besar maknanya,” jelasnya.
Pelakon Kahar: Kapla High Council itu mengakui, setiap pencalonan di FFM bukan hanya soal menang atau kalah, tetapi tentang bagaimana seseorang artis itu berkembang dan terus memberikan sumbangan dalam industri.
Dalam masa yang sama, Aedy turut menzahirkan penghargaan buat para peminat yang sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada kemampuannya sejak awal bergelar pelakon cilik hingga kini menjadi antara wajah yang disegani generasi muda dalam industri seni tanah air.
“Saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa mereka. Setiap komen, doa dan sokongan mereka sangat saya hargai, FFM ini bukan hanya untuk saya tetapi buat semua yang pernah bersama saya dari mula.
“Saya ingin terus menghasilkan kerja yang jujur dan berkualiti supaya setiap naskhah yang saya sentuh ada mesej dan jiwa. Itu lebih penting bagi saya daripada sekadar ‘glamour’.
“Pencalonan itu tidak akan menjadikan saya leka, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan bermakna buat penonton.
“Apa pun keputusannya nanti, saya sudah anggap pencalonan ini adalah satu kemenangan, apabila filem dan pelakon tempatan diraikan, itu tandanya industri kita masih hidup,” katanya.
Sekadar info, Aedy disenarai sebagai calon di Festival Filem Malaysia ke-34 bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, ini merupakan pencalonan keduanya selepas menerima pencalonan di FFM ketika berusia 12 tahun menerusi kategori Pelakon Kanak-kanak Terbaik di FFM20 pada tahun 2007 dahulu.










